Ads Top

Berlakon Filem Hong Kong, Rosyam Nor Tak Sangka Dapat Tajaan 19 Unit Waterjet Secara Percuma

Gara-gara berlakon dalam filem Hong Kong iaitu G Storm, pelakon dan penerbit popular Datuk Rosyam Nor telah mendapat tajaan 19 unit waterjet secara percuma.

Rosyam berkata, pada mulanya dia mahu membeli beberapa unit waterjet di sebuah kedai menjual peralatan pembersihan sewaktu terlibat dalam membantu mangsa banjir baru-baru ini.

“Ketika mahu membeli peralatan tersebut, pemilik kedai berkenaan bertanya adakah saya yang berlakon dengan Louis Koo dalam filem G Storm.

“Kemudian apabila memberitahu saya adalah pelakon itu, ternyata dia bermurah hati untuk menaja secara percuma 19 unit waterjet,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pratonton bersama media filem Hong Kong iaitu G Storm yang berlangsung baru-baru ini.

Dalam filem berkenaan, Rosyam membawakan watak bernama King yang juga watak antagonis dan ketua kumpulan penjahat yang menentang pihak berkuasa anti rasuah di Hong Kong.

Mengenai pembabitannya dalam filem berkenaan, Rosyam berharap agar ia akan menjadi satu platform untuk dia turut dikenali dalam kalangan penonton berbangsa Cina.

“Ketika saya muncul dalam filem Kabali dahulu bersama Rajinikanth, ternyata penonton berbangsa India mula mengenali saya, meskipun kemunculan saya tidak banyak.

“Jadi, menerusi filem G Storm ini juga saya harap ia memberi impak yang sama. Apatah lagi pelakon utamanya iaitu Louis Koo satu nama yang cukup besar di Hong Kong dan Malaysia,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu terbabit dengan sebuah filem antarabangsa yang besar memberikan pengalaman yang cukup bermakna serta banyak yang dipelajari.

Jelasnya, sepanjang berlakon bersama Louis Koo, mereka selalu berbincang dan bertukar-tukar pandangan tentang pembikinan filem di negara masing-masing.

“Kalau ikutkan jadual Louis Koo memang padat memandangkan dia memegang watak utama. Namun, bila ada sedikit masa terluang, saya ambil kesempatan untuk berborak-borak dengannya,” ujar Rosyam.

Filem G Storm sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 31 Disember yang lalu. – KopiPlanet.com

The post Berlakon Filem Hong Kong, Rosyam Nor Tak Sangka Dapat Tajaan 19 Unit Waterjet Secara Percuma appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.