Ads Top

Rumah Maduku Berhantu Sebuah Kisah Komedi Yang Cukup Menghiburkan

Tajuk: Rumah Maduku Berhantu
Tarikh Tayangan: 2 DISEMBER 2021
Genre: Komedi Seram
Pengarah: Datuk Profesor Dr. A. Razak Mohaideen
Pelakon: Zizan Razak, Azlee Senario, Nadia Brian, Rita Rudaini, Saiful Apek, Douglas Lim

Ketika duduk di kerusi panggung sebelum tayangan bermula, penulis beranggapan filem Rumah Maduku Berhantu sebagai sebuah karya seram yang biasa-biasa.

Bagaimanapun, sebaik menontonnya sehingga tamat, tidak dinafikan filem terbaharu arahan Datuk Profesor Dr. A. Razak Mohaideen ini sememangya sebuah naskhah yang menarik.

Filem ini mengisahkan tentang Saufi seorang agen hartanah yang setia serta bahagia bersama isterinya, Sofea, dan anak perempuannya Lulu. Namun keharmonian ini bertukar porak peranda apabila seorang sahabat lama, Ali, telah memaksa Saufi untuk bersetuju menjadi ‘Pak Sanggup’ dengan mengahwini bekas isterinya iaitu Alia untuk satu malam sahaja.

Perkahwinan ‘sementara’ antara Saufi dan Alia menjadi rumit apabila Ali meninggal dunia di dalam satu kemalangan. Saufi kini harus mencari penyelesaian untuk hidup bersama isteri pertama dan kedua tanpa membocorkan rahsia bahawa mereka kini telah bermadu. 

Pertama sekali, filem ini mengetengahkan beberapa perkara tema seperti budaya ‘prank’ yang kerap berlaku, perkahwinan ‘cina buta’ atau pak sanggup dan kisah hidup bermadu.

Mengenai prank, pengarah menunjukkan bahawa budaya ini selalunya dilihat kepada bentuk gurauan, tetapi ia sebenarnya boleh mendatangkan keburukan dan kemudaratan.

Ia boleh dilihat menerusi watak Ali lakonan Azlee Senario yang telah menceraikan isterinya, Alia (Nadia Brian) dengan talak tiga setelah diprank oleh isterinya.

Akibat daripada kejadian tersebut, ia kemudian diteruskan dengan tema yang kedua iaitu berkenaan perkahwinan ‘cina buta’, di mana Ali terpaksa mencari pak sanggup untuk mengahwini bekas isterinya supaya mereka boleh berkahwin semula memandangkan kedua-duanya masih saling mencintai.

Maka, bermulah tentang tema yang ketiga iaitu tentang hidup bermadu apabila Saufi (Zizan Razak) menerima tawaran Ali, meskipun sudah mempunyai seorang isteri, Sofea (Rita Rudaini) serta seorang anak iaitu Lulu.

Secara keseluruhannya, jalan cerita yang ditampilkan dalam filem ini boleh dikatakan agak baik, namun terdapat juga beberapa kelemahan yang ada.

Salah satu kelemahan yang wajar diberi perhatian ialah mengenai elemen-elemen lucah yang kerap ditampilkan sehingga penulis berasa filem ini seperti kurang sesuai ditonton oleh kanak-kanak.

Sudah sewajarnya elemen sebegini sepatutnya dapat dielakkan kerana adakalanya ia boleh menjadi sesuatu yang cukup menjengkelkan.

Apapun, Rumah Maduku Berhantu ini adalah sebuah filem yang sememangnya menghiburkan buat penonton yang gemarkan filem komedi dan seram. – KopiPlanet.com

The post Rumah Maduku Berhantu Sebuah Kisah Komedi Yang Cukup Menghiburkan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.