Dukun Diva Angkat Tema ‘Female Con Artist’, Kisah Dukun Palsu Tipu Jutawan Kosmetik Demi Wang
Demi memastikan penonton berterusan disajikan dengan kandungan yang berkualiti, jenama Astro Originals kini bakal mempersembahkan Dukun Diva, sebuah drama tempatan pertama yang mengangkat kisah ‘female con artist’ dan ‘anti-heroes’.
Penerbit Dukun Diva, Alfie Palermo berkata, drama berkenaan mengetengahkan kisah tentang dukun yang cukup sinonim dengan masyarakat di Malaysia.
“Masyarakat kita umumnya amat sinonim dengan perkataan ‘Dukun’. Ada segelintir pihak yang menyalahgunakan ilmu dukun tersebut.
“Menyedari hakikat itu, ia memberi inspirasi buat saya menghasilkan Dukun Diva dua wanita yang mempunyai impian dan cita-cita, telah menjadi dukun palsu untuk menipu seorang jutawan kosmetik bersama keluarganya demi wang,” jelasnya.
Ujar Alfie, di luar negara sudah banyak naskhah yang mengetengahkan subjek watak wanita sebagai ‘con artist’, tetapi ia tidak pernah lagi dihasilkan di Malaysia.
“Kami yakin dengan menggabungkan moden setting dan elemen lokal, ia mampu memberikan pengalaman baru kepada penonton dan memartabatkan warisan tempatan seperti baju tradisional kebaya, dukun ke serantau melalui drama kita,” ujarnya.
Dukun Diva mengisahkan tentang Rubiah Samsudin atau dengan gelaran popularnya Che Yah gagal menjadi pelakon terkenal dan kini bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) di sebuah kelab malam. Hakikat tersebut menyebabkan Che Yah sangat malu untuk pulang menemui keluarganya di kampung.
Satu hari, Che Yah menerima panggilan daripada hospital memaklumkan kakaknya, Aishah sedang nazak. Di sini bermulanya perubahan dalam hidup Che Yah bila mengetahui dia bakal menjaga anak saudaranya, Lola seorang remaja yang bermasalah.
Antara pelakon yang membintangi drama berkenaan seperti Nadia Aqilah dan Eyka Farhana selaku teraju utama sebagai dukun palsu serta turut dibarisi pelakon hebat Emelda Rosemila, Tony Eusoff, Adlin Aman Ramlie, Aloy Paradoks dan ramai lagi.
Sementara itu Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata Dukun Diva lebih memfokuskan konteks ‘Malaysian’ dari sudut skrip, jalan cerita, idea, pelakon dan sinematografi agar dapat memenuhi selera semua penonton tidak mengira latar.
“Kami yakin jika karya tempatan berjaya diterima oleh segenap masyarakat, ia juga mampu mempelopori pasaran luar. Ini kerana kita sering dihidangkan dengan budaya luar menerusi drama mereka.
“Jadi, sudah tiba masanya untuk drama kita pula mempamerkan budaya dan keistimewaan Malaysia serta mengikuti peredaran semasa dalam bentuk santai buat penonton dalam dan luar negara.
“Uniknya, Dukun Diva meletakkan subjek ‘anti-heroes’ wanita yang mana ia jarang dipersembahkan dalam drama siri tempatan. Banyak mesej positif yang cuba disampaikan untuk tatapan penonton,” ujarnya.
Drama rantaian siri di bawah jenama Astro Originals ini bakal menemui penonton mulai 6 Disember pada setiap hari Isnin pukul 9.00 malam di Astro Citra, saluran 108. – KopiPlanet.com
The post Dukun Diva Angkat Tema ‘Female Con Artist’, Kisah Dukun Palsu Tipu Jutawan Kosmetik Demi Wang appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: