Usop Mentor Bertunang Dengan Anak Mami, Akui Cuba Beberapa Kali Mengurat Tunang Menerusi Instagram
Naib Juara Mentor Milenia 2017 dan Big Stage 2020, Usop atau nama sebenarnya Muhamad Saiful Naim B. Mohd Noor,24 hari ini telah selamat mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihan, Nur Fatihah Md Hashim,25 yang berasal dari Sungai Dua, Pulau Pinang.
Majlis pertunangan yang diadakan secara tertutup di Dewan Desa Murni, Taman Desa Murni Sungai Dua, Pulau Pinang telah dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu yang ditetapkan kerajaan.
Menceritakan tentang detik perkenalan mereka, Usop berkata, dia mengenali tunangnya itu ketika di rumah sepupunya dan hubungan berlanjutan menerusi Instagram.
“Apapun saya anggap jodoh tak salah alamat, tunang saya pun tak memandang rupa. Ketika mula mengenalinya dulu saya bukanlah siapa-siapa.
“Dipendekkan cerita, saya adjust (ngurat) dia kat Instagram. Mula-mula sukar juga, tetapi saya ni orang yang pantang mengalah dan setelah cuba beberapa kali, akhirnya saya berjaya tambat hati dia,” ujarnya.
Menurut Usop, dia berharap agar peminat serta mereka yang mengenalinya dapat mendoakan kebahagian dirinya dan Teha selain dipermudahkan segala urusan sehingga majlis pernikahan kelak.
Sementara itu, Fatihah atau lebih mesra dengan panggilan Teha berkata, antara sebab dia menerima Usop sebagai bakal suami kerana penyanyi itu seorang yang baik dan ikhlas.
“Saya nampak ketulusan dan tidak mengalah untuk memikat hati saya. Selain itu, dia juga seorang begitu menghormati orang tua-tua.
“Walaupun umur dia masih lagi muda, tetapi dia berani untuk berjumpa dengan kedua ibu bapa saya dan menyatakan hasrat mahu betul-betul serius dengan saya,” ujarnya.
Dalam majlis pertunangan yang berlangsung meyaksikan hantaran tujuh dulang dari pihak perempuan dan berbalas lima dulang dari pihak lelaki.
Majlis pertunangan telah disempurnakan mengikut adat Melayu oleh kedua-dua belah pihak dengan menyaksikan Muhd Firdaus mewakili pihak perempuan manakala Mohd Noor sebagai wakil dari pihak lelaki.
Antara intipati menarik, selepas mendapat persetujuan hasil perbincangan dari kedua-dua belah pihak, mereka dijangka akan berkahwin pada awal Februari 2022. – KopiPlanet.com
Kredit gambar: @alenphotography786 / @kakiklikphotography cc @King Azman
The post Usop Mentor Bertunang Dengan Anak Mami, Akui Cuba Beberapa Kali Mengurat Tunang Menerusi Instagram appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: