Siapa Tutup Lampu Adaptasi Sebuah Pementasan Teater, Pertaruhkan Genre Thriller & Kisah Persahabatan
Tidak dinafikan filem-filem bergenre thriller merupakan antara nashkah yang sering mendapat sambutan dan begitu digemari penonton di Malaysia.
Sehubungan itu, Horizon Film Entertainment Sdn Bhd dan Articulate Fusion Productions Sdn Bhd. berkolaborasi menerbitkan filem Siapa Tutup Lampu, sebuah kisah tentang persahabatan dengan mengetengahkan genre thriller.
Penerbit Horizon Film Entertainment Sdn Bhd, Mohd Shahir Sulaiman berkata, Siapa Tutup Lampu adalah sebuah filem yang diadaptasi dari sebuah pementasan teater yang telah memenangi banyak anugerah dalam satu pertandingan teater.
“Siapa Tutup Lampu merupakan filem bergenre persahabatan dan thriller, di mana ia adalah konsep yang baru diperkenalkan di pasaran di Malaysia dan juga antara yang pertama di negara ini.
“Saya bersyukur kerana projek ini telah mendapat sokongan banyak pihak dan perjalanan untuk menghasilkan filem ini berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Shahir berkata, filem tersebut adalah hasil cetusan idea dan nukilan penulis skrip saudara Azhar Jalil dan diarahkan oleh pengarah muda yang berbakat iaitu Aliff Ihsan Rahman.
Apa yang menariknya, filem tersebut dibintangi oleh pelakon-pelakon muda tanahair iaitu Azizul Ammar, Uyaina Arshad, Naim Daniel, Ismi Melinda dan Azhar Jalil, juga dibantu oleh Afieq Shazwan, Mark O’Dea, Melissa Campbell dan Geoff Andre Feyaerts.
Filem Siapa Tutup Lampu mengisahkan lima orang sahabat iaitu Akmal, Arif, Aryana, Azie dan Amir yang bercuti di Genting Highlands. Dalam perjalanan pulang, mereka terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan Amir terkorban. Keempat-empat mereka yang lain perlu hadir ke bilik mayat untuk membuat pengecaman mayat Amir.
Semasa menunggu doktor di bilik mayat, mereka terkunci dalam bilik mayat tersebut. Sepanjang mereka terkunci di dalam bilik mayat, mereka sering diganggu dengan pelbagai gangguan misteri dan antara yang paling ketara ialah lampu yang padam dengan tiba-tiba.
Sementara itu, Aliff selaku pengarah menjelaskan bahawa Siapa Tutup Lampu adalah sebuah karya tentang persoalan erti kejujuran.
“Jalan ceritanya lebih merupakan soalan tentang ketidakjujuran dan siapa yang mengelapkan kebenaran.Kejujuran sesama manusia , kejujuran dengan diri sendiri dan kejujuran dengan tuhan,” ujarnya.
Filem Siapa Tutup Lampu ditayangkan di saluran Astro First mulai 25 November 2021. – KopiPlanet.com
The post Siapa Tutup Lampu Adaptasi Sebuah Pementasan Teater, Pertaruhkan Genre Thriller & Kisah Persahabatan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: