Penganjuran Acara LACF Ketengahkan Warisan & Budaya 15 Negara Yang Hampir Pupus Dapat Sambutan Menggalakkan
.
Penganjuan acara Festival Seni Hidup@Living Arts Cultural Festival (LACF) yang diadakan pada 29-31 Oktober lalu anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ternyata mendapat sambutan menggalakkan.
LACF menghimpunkan kesenian yang antaranya telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), Warisan Kebangsaan dan platform mengetengahkan warisan negara yang hampir pupus dan seterusnya menjadi pencetus kepada usaha pemuliharaan dan pemeliharaan.
Berbeza dengan penganjuran LACF pada tahun 2018 dan 2019, LACF siri ketiga ini diadakan secara dalam talian dan boleh dilayari melalui www.cloudtheatre.com dan Halaman Peminat Facebook Rasmi JKKN TV.
Sebagai sebuah jabatan yang bertanggungjawab memelihara, mengembang dan membangunkan kebudayaan dan kesenian, pelbagai pengisian diadakan bagi terus menyemarakan warisan seni budaya negara, dan dalam masa yang sama mengetengahkan warisan tidak ketara negara luar sebagai nilai tambah kepada program.
Pada tahun 2021, LACF menampilkan warisan tidak ketara daripada 15 negara iaitu Malaysia, Australia, Cambodia, China, Filipina, Kanada, Indonesia, Korea Selatan, Mexico, Perancis, Lao PDR, Sri Lanka, Thailand, Turki dan Viet Nam.
Sebanyak 18 kesenian yang telah diiktiraf oleh UNESCO akan dipersembahkan iaitu ‘Dondang Sayang’ oleh kumpulan Kenangan Mawar Biru, ‘Mak Yong’ oleh Kumpulan Kesenian JKKN, ‘Silat’ oleh Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga (Malaysia), ‘Khon’ oleh Absolutely Thai Kansadaeng Watthanatham Co., Ltd (Thailand), ‘Darangen’ oleh Sarimanok Theatre Company (Filipina), ‘Ebru dan Whirling Dervishes’ oleh Garip Ay dan Seyit Sercan Celik dan ‘Tradisional Turkish Archery’ oleh Yunus Emre Turkish Cultural Centre (Turki).
Turut menarik perhatian adalah ’Lkhon Khol Wat Svay Andet’ dan ‘Tarian klasik Khmer’ oleh Cambodia Cultural Troupe (Cambodia), ’Sound of Khaen Dance’ oleh National Artist Lamthong Phothivong (Loa PDR), ’Pirekua’ oleh Kústakua (Mexico), ‘Maloya’ oleh Lindigo (Perancis), ‘Saman’ oleh Sanggar Inen Manyak Teri (Indonesia), ‘Nyanyian Ca Tru’ oleh Ca Tru Thang Long (Viet Nam) dan ‘Pantun’ oleh wakil daripada Malaysia dan Indonesia iaitu Hj. Chuari Selamat dan Ibu Nunik Heri Wahyuni.
Pada mas sama, penonton juga bakal disajikan dokumentari khas ‘Wangkang’ daripada Malaysia dan China serta seni mempertahankan diri tradisional ‘Ssirieum’ daripada Korea Selatan.
Selain itu, LACF 2021 juga akan menampilkan ‘Wayang Kulit’ daripada Geng Wak Long Production, ‘Veena’ oleh Shuwetha Premkumar, ‘Tarian Piring’ oleh Kumpulan Kesenian JKKN, ‘Sundatang’ oleh Mc Feddy Simon, ‘Tarian Labi-labi’ oleh Kumpulan Labi-labi Kampung Pulau Rumput Pahang, ‘Sape’ oleh Rosemary Colony Joel, ‘Gambus’ oleh Fauziah Suhaili, ‘Main Balai’ oleh Kumpulan Kesenian Balai Majlis Kebudayaan Daerah Hulu Terengganu dan ‘Gendang Melayu Sarawak’ oleh Kumpulan Mukun Kamek.
Tidak ketinggalan juga penampilan ‘Dabus’ oleh Kumpulan Tradisional Dabus Kg. Tanjung Bidara Perak, ‘Anak Umbang’ oleh Che Wan Noorsaidi Che Wan Ab Rahman, ‘Pensol’ oleh Bah Rahman a/l Bah Tuin, ‘Terinai’ oleh ASWARA, ‘Tari Inai’ oleh Genius Seni Tari, ‘Joget Gamelan’ oleh Istana Budaya, ‘Dhol’ oleh Dhol Federation, ‘Isun-isun’ oleh Masruh Siadik, ‘Mayin Jo’oh’ oleh Kumpulan Kebudayaan Mah Meri Pulau Carey, ‘Sumazau’ dan ‘Sumirid’ oleh Kumpulan Kesenian JKKN Sabah, ‘Opera Boneka Teochew’ oleh Teochew Puppet Opera House, ‘Awang Batil’ oleh Romli bin Mahmud, Chamara oleh Raranga Dance Academy daripada Sri Lanka, ‘Yidaki’ oleh Malawurr daripada Australia dan tarian tradisional orang asli di Kanada iaitu gabungan tarian ‘Fancy Shawl, Traditional and Prairie Chicken’.
Selain persembahan kesenian, JKKN turut melaksanakan 3 pencungkilan bakat sempena LACF 2021 iaitu Pertandingan Nyanyian Lagu-lagu P. Ramlee, Cabaran Joget dan Pertandingan Busana Tradisional Malaysia mulai 20 Ogos sehingga 20 September 2021. Sebanyak 690 penyertaan telah diterima untuk dinilai oleh juri profesional. 10 video terbaik bagi Pertandingan Nyanyian Lagu-lagu P. Ramlee dan Cabaran Joget akan dipersembahkan di LACF 2021 dengan kemuncaknya adalah pengumuman juara bagi ketiga-tiga kategori tersebut.
Selain itu, program berbentuk keilmuan juga diadakan seperti Webinar yang turut menampilkan panel daripada Indonesia iaitu Maya Hasan dengan tajuk Webinar: Mental Health and Healing Through Music: Perspectives from Arts and Science yang turut disertai Dr. Indra V. Selavarajah, Prof. Mohd Anis Md Nor, Prof. Jacqueline Pugh Kitingan, Dr. Nurashikin Ibrahim dan Pauline Fan. Webinar: Perayaan Wangkang antara Mitos dan Kepercayaan menampilkan YBhg. Datuk Ronald Gan dan Encik Cendric Tan. Kedua-dua webinar masing-masing akan diselaraskan oleh JKKN Melaka dan PUSAKA. LACF 2021 kali ini juga turut mengetengahkan Intelek Seni dengan tajuk ‘Nilai Estetika Seni Bina Rumah Tradisional Negeri Sembilan’, ‘Simbolisme Daun Sirih dalam Perubatan Tradisional Masyarakat Melayu’ dan ‘Amalan Adat Berpantang bagi Wanita Selepas Bersalin’.
Orang ramai juga berpeluang menyertai Bengkel Origami Warisan Kebudayaan Malaysia secara maya bersama Pertubuhan Origami Malaysia yang menampilan bengkel Origami Wau Bulan oleh Kenneth Ch’ng, Origami Keris oleh Nicholas Lo dan Origami Kuih Talam oleh Tan Chia Wen. Pendaftaran boleh dibuat melalui Facebook Malaysia Origami Academy.
Penonton juga berpeluang mempelajari masakan tradisional dalam ‘Program Jom ke Dapur Warisan’yang dibawa khas oleh Jabatan Warisan Negara (JWN). Selain itu, promosi dan jualan produk Malaysia turut akan menampilkan usahawan-usahawan daripada Persatuan Penggiat Pelancongan Senibudaya Warisan Kraf Negeri Selangor (PESTA), Persatuan Usahawan Seni Malaysia (PUSM) dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. LACF 2021, turut akan menampilkan Cerita Kejayaan Tokoh Warisan Orang Hidup, penggiat seni dan juga usahawan kraftangan. – KopiPlanet.com
The post Penganjuran Acara LACF Ketengahkan Warisan & Budaya 15 Negara Yang Hampir Pupus Dapat Sambutan Menggalakkan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: