Hael Husaini Dapat Ilham Hasilkan Lagu Kelentang-Kelentong Ketika Menyanyi Secara Spontan Berkenaan Kuali
Penyanyi terkemuka negara, juara dua kali berturut-turut Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32 dan 33, Hael Husaini kembali menyajikan single terbaharunya yang berjudul ‘Kelentang-Kelentong’ hasil kerjasama serasi dengan komposer popular, Ezra Kong dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd.
Hael yang kini sedang sibuk dalam rangka penyiapan 10 buah lagu buat album sulungnya masih berkesempatan menghasilkan single istimewa ini bersempena peralihan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Fasa 1 ke 2 dan terkini, peralihan ke Fasa 3.
“Alhamdulillah, syukur dan syabas buat kita rakyat Malaysia kerana berjaya menangani masalah pandemik COVID-19 sebaik mungkin. Walaupun perjalanan kita masih jauh, namun saya positif dengan situasi norma baharu tatkala fasa endemik bakal menyusul kelak.
“Sejajar dengan itu, saya mengambil kesempatan untuk menghasilkan sebuah single bagi meraikan peralihan itu dengan lagu yang menggambarkan perasaan rakyat Malaysia secara amnya.
“Sebenarnya ilham lagu ini tercetus secara tak sengaja selepas saya muncul di sebuah rancangan hiburan di Indonesia pada tahun lepas. Ketika itu, saya diminta untuk menyanyikan secara spontan berkenaan kuali. Jadi ‘Kelentang-Kelentong’ itu adalah signifikasi terhadap bunyi ketukan kuali. Sekembalinya ke Malaysia, saya terus menghubungi Ezra dan kami terus berbincang. Saya menyimpan lagu ini terlebih dulu kerana masanya belum sesuai untuk diterbitkan sehinggalah kini,” kata duta Teh Hijau jenama BOH, selain Nivea dan juga ais krim Magnum ini.
‘Kelentang-Kelentong’ dalam masyarakat Malaysia banyak signifikansinya, ia bukanlah sekadar ‘tin kosong’ yang berbunyi atau keadaan riuh-rendah semata-mata secara lazimnya. Namun Hael mempunyai interpretasi sendiri, kata beliau, “Kini, jalan cerita lagu ini telah diubah lebih sesuai dengan situasi terkini di negara kita yang telah membenarkan gelembung pelancongan terhadap beberapa destinasi dalam negeri dan juga kebenaran merentas negeri.
“Ianya sebuah lagu yang mengajak kita untuk pergi berjalan atau melancong ke mana sahaja yang dibenarkan oleh kerajaan, dan ajaklah kaum keluarga mahupun rakan dan bertemulah dengan insan-insan tersayang yang kita rindui.
“‘Kelentang-Kelentong’ memberi gambaran keriuhan suasana tatkala berjumpa dan perasaan keterujaan dek kerana menahan rindu yang terlalu lama.
Lagu rancak ala santai bergenre pop ini diberikan kelainan yang istimewa dengan suntikan irama lagu-lagu rakyat yang sering kita dengar sewaktu kecil dan mudah diterima oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia.
Tambah Hael lagi, “Saya dan Ezra mengambil masa yang tak terlalu lama bagi penghasilan dan proses rakaman lagu tersebut, dan kesemuanya dijalankan di studio rakaman milik beliau.
“Ini juga merupakan gandingan ‘comeback’ di antara saya bersama Ezra dalam sebuah lagu setelah single ‘Hati’ yang dilancarkan pada tahun lepas kerana sibuk dengan kerja dan projek masing-masing. Sebenarnya banyak lagi projek dan karya-karya saya bersama Ezra bakal dilancarkan pada tahun hadapan.
Penggambaran video muzik (MV) ‘Kelentang-Kelentong’ pula telah dijalankan di sekitar destinasi pelancongan yang popular di Malaysia iaitu Pulau Langkawi dengan memaparkan tempat-tempat menarik yang sering dikunjungi oleh para pelancong di ‘Pulau Lagenda’ itu bagi menimbulkan mood percutian yang penuh keseronokan.
“MV pada kali ini sangat santai dan ‘straightforward’, ia lebih kepada penceritaan tentang seseorang yang sedang bersiap-siap untuk keluar bersiar-siar di sekitar Pulau Langkawi, kemudian bertemu dengan orang-orang tersayang sambil berseronok menghabiskan waktu bersama,” jelasnya.
Encik Feros Sayna, Selaku Ketua Rocketfuel Entertainment memberi komen, “Sebetulnya, di awal perbincangan kami bercadang untuk menghasilkan lagu yang berbeza tetapi Hael dan Ezra secara tidak sengaja berkongsi demo ‘Kelentang-Kelentong’ yang menarik dan unik, lalu saya tertarik dengan melodinya yang santai dan bersahaja lalu menukar fikiran untuk meneruskan dengan lagu tersebut. Semuanya berlaku secara tiba-tiba, lantas kami terus berbincang tentang garis masa lagu tersebut dan bila masa yang sesuai untuk pelancarannya.
“Berani saya katakan bahawa saya yakin dengan kebolehan Hael dan Ezra dalam penciptaan lagu. Kombinasi mereka berdua ada keserasian tersendiri dengan menghasilkan sesuatu yang hebat. Dengan adanya ‘Kelentang-Kelentong’ ini, sedikit sebanyak dapat memberi kejutan buat pendengar di luar sana. Lagu ini juga mempunyai ‘genre’ yang unik yang tak pernah Hael dan Ezra ciptakan sebelum ini. Saya berharap agar lagu in dapat menghiburkan hati peminat Hael Husaini di luar sana.
PKP yang berlangsung selama beberapa bulan di negara kita sedikit sebanyak membantutkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, terutamanya dari segi aktiviti pelancongan dan riadah, menurut Hael, “Marilah kita sama-sama membantu menjana pendapatan negara dengan kadar yang mampu, kerana kalau bukan kita yang menolong negara, siapa lagi kan?
“Harapan saya agar pendengar jangan terlalu serius tatkala mendengar lagu ini kerana ianya sangat santai dan bersifat ‘sing-along’. Yang paling penting pendengar terhibur dan menerima lagu ini seadanya.
“Saya juga berharap agar para pendengar dapat memberi sokongan dan semangat kepada saya dan kesemua rakan komposer lain untuk terus-menerus berkarya.
“Akhir kata, jangan berhenti melawan virus ini. Namun, pada masa yang sama kita perlu menerima adanya virus ini dan belajar untuk beradaptasi dengan norma baharu. Jaga diri, jaga keluarga dan sentiasa patuhi SOP.
The post Hael Husaini Dapat Ilham Hasilkan Lagu Kelentang-Kelentong Ketika Menyanyi Secara Spontan Berkenaan Kuali appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: