Syaidatul Afifah Tidak Berniat Ceburi Bidang Lakonan, Sedia Terima Tawaran Berlakon Sekiranya Bersesuaian
Bekas pemain boling kebangsaan, Syaidatul Afifah mengakui tidak berniat untuk menceburi bidang lakonan setelah bersara daripada mewakli skuad kebangsaan.
Afifah berkata, dia mempunyai hasrat untuk membuka sebuah akademi boling untuk melatih pemain-pemain muda.
“Sebenarnya saya tidak ada intention (niat) pun nak ceburi bidang lakonan kerana mahu membuka akademi boling dan ini perancangan saya dalam tempoh lima tahun.
“Namun begitu, selepas drama Ratu Ten Pin ni kalau ada rezeki dan tawaran saya akan cuba, cuma kena tengok dahulu watak apa yang diberikan,” ujarnya.
Afifah berkata demikian ketika sesi sidang media secara virtual bersama penerbit Sheila Rusly dan barisan pelakon drama Ratu Ten Pin.
Jelas Afifah, selepas bersara daripada sukan boling, dia memang sudah merancang untuk explore sesuatu yang baharu.
Ujarnya, sepanjang 20 tahun terbabit dalam sukan boling, dia tidak dapat cuba melakukan perkara-perkara lain.
“Lepas bersara daripada sukan boling, memang saya dah berniat untuk cuba apa sahaja bidang yang lain.
“Lagipun selama ni sata dah banyak curahkan masa untuk sukan ini sejak umur 9 hingga 29 tahun. Jadi, inilah masa untuk saya explore sesuatu yang baru,” ujarnya.
Dalam pada itu, bercerita lebih lanjut mengenai pembabitan sulungnya dalam bidang lakonan, Afifah akui ia memberi cabaran tersendiri buatnya.
Membawakan watak Sandra, dia memberitahu sepanjang penggambaran juga dia banyak dibantu oleh pengarah dan rakan-rakan pelakon yang lain.
“Dalam drama ni saya memang zero dalam bidang lakonan, namun saya ambil cabaran ini sebab ceritanya berkonsepkan boling. Kalau tak ambil peluang ni, bila lagi saya dapat buat cerita yang bertemakan sukan boling.
“Ketika penggambaran juga kami saling tolong-menolong antara satu sama lain. Misalnya, saya banyak guide tentang boling, Manakala Sis (Sheila Rusly) serta pelakon-pelakon lain banyak bantu saya dari segi lakonan,” ujarnya.
Pada masa sama, Afifah turut berterima kasih kepada Sheila selaku penerbit kerana telah mengangkat kisah sukan boling untuk dijadikan sebuah drama.
Selain Afifah, drama berkenaan turut dibintangi Elisya Sandha, Fify Azmi Nazim Othman, Nasz Sally, Eizlan Yusof, Aleeza Kasim, Esma Daniel, Hazeeq Dean dan Lisdawati.
Ratu Ten Pin sudah mula disiarkan di saluran Astro Ria mulai 28 Jun lalu setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 11.00 malam. – KopiPlanet.com
The post Syaidatul Afifah Tidak Berniat Ceburi Bidang Lakonan, Sedia Terima Tawaran Berlakon Sekiranya Bersesuaian appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: