Pihak HOC Sahkan Belum Terima Sebarang Notis Tuntutan Daripada Pihak Amy & Nasir Search
Pihak House Of Champion (HOC) mengesahkan masih belum menerima sebarang notis tuntutan daripada dua orang anggota kumpulan Search iaitu Amy dan Nasir.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, ia adalah berhubung kenyataan media oleh Amy dan Nasir serta waris Allayarham Yazit yang mengarahkan menghentikan penjualan produk yang menggunakan nama Search.
“Merujuk kenyataan media yang telah dikeluarkan pada 20 Mei 2021 di platform media sosial dan akhbar media cetak serta media elektronik yang pihak kami difahamkan, dikeluarkan oleh Suhaimi Abdul Rahman ( Amy ) dan Nasir Daud (Nasir).
“Kenyataan media tersebut dengan jelasnya memberitahu Home Of Champions ( HOC ) telah menggunakan nama SEARCH tanpa kebenaran untuk menjual pakaian dan aksesori di beberapa laman web, antaranya www.fenomenasearch.com.
“Sehingga dari tarikh kenyataan media ini dikeluarkan, pihak HOC dan pihak peguam kami belum menerima apa-apa notis tuntutan dari pihak Amy dan Nasir,” ujar kenyataan itu lagi.
Sebelum ini, Amy, Nasir dan waris Allahyarham Yazit mendakwa pihak HOC telah menggunakan nama Search tanpa kebenaran mereka.
Malah, mereka sudah mengambil nasihat guaman dan mengeluarkan tuntutan terhadap individu bernama Mozylir Mokhtaruddin dan HOC untuk menghentikan kegiatan berkenaan.
> Baca: Home Of Champions Diminta Menghentikan Penggunaan Nama Search Untuk Penjualan Produk
Dalam pada itu, menerusi kenyataan itu lagi, segala tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan terhadap perkara ini, akan dijelaskan kepada umum ketika sidang media virtual (live online) pada Jumaat 28 Mei ini.
“Sidang media ini akan turut dihadiri oleh barisan peguam kami dan pihak SEARCH Band.
“Pihak kami dan SEARCH Band akan menjawab segala tuduhan dan pertanyaan dari pihak media,” jelasnya.
Menurutnya, pihak HOC juga ingin memaklumkan kepada pelanggan dan peminat, operasi perniagaan mereka berjalan seperti biasa dan akan meneruskan aktiviti pemasaran seperti yang dirancang. – KopiPlanet.com
The post Pihak HOC Sahkan Belum Terima Sebarang Notis Tuntutan Daripada Pihak Amy & Nasir Search appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: