Perbicaraan Kes Saman Fitnah Ustaz Abu Syafiq Terhadap Amin Idris Akan Bermula Esok
Kes saman fitnah siber penceramah bebas, Ustaz Abu Syafiq terhadap pengacara Amin Idris berhubung dakwaan ‘postings’ dan kenyataan fitnah yang diterbitkan di laman media sosial milik pengacara tersebut akan bermula esok (20 Mei) di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan firma pengurusan krisis Saiful Ridzuan Public Relations And Communications, perkara tersebut disahkan oleh peguam kepada Abu Syafiq iaitu Nurul Hafidzah Hassan dari firma guaman NHA Advocates and Solicitors.
“Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 20, 21, 27 dan 28 Mei bagi perbicaraan kes,” jelasnya.
Pada bulan Mei tahun lalu, plaintif iaitu Abu Syafiq telah memfailkan saman fitnah terhadap Amin Idris dan seorang lagi individu, mendakwa ‘postings’ kenyataan palsu dan fitnah yang diterbitkan oleh kedua-dua defendan telah menjatuhkan imej, reputasi dan jenama peribadi beliau.
Menurut laporan berita tahun lepas, kes saman tersebut dibawa ke mahkamah bagi membersihkan nama Abu Syafiq dan bagi membuktikan kebenaran yang beliau tidak bersalah.
Plaintif mendakwa tidak melakukan seperti apa yang didakwa oleh kedua-dua defendan melalui ‘postings’ dan kenyataan yang telah diterbitkan oleh mereka.
Laporan itu juga memetik Abu Syafiq telah mengambil inisiatif dan berusaha untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan baik namun gagal.
Abu Syafiq seterusnya mengambil keputusan meneruskan tindakan undang-undang kerana beliau tidak pernah membuat kenyataan-kenyataan seperti yang didakwa.
Plaintif menuntut ganti rugi am, teruk, teladan, kos, faedah serta relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – KopiPlanet.com
The post Perbicaraan Kes Saman Fitnah Ustaz Abu Syafiq Terhadap Amin Idris Akan Bermula Esok appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: