Ads Top

Home Of Champions Diminta Menghentikan Penggunaan Nama Search Untuk Penjualan Produk

Bekas penyanyi kumpulan Search, Amy serta pemain bass, Nasir dan waris keluarga pemain dram, Allahyarham Yazit mengarahkan individu bernama Mozylir Mokhtaruddin dan syarikat, Home of Champions menghentikan penggunaan nama Search untuk mengaut keuntungan dengan penjualan pakaian dan aksesori di atas nama Search.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, mereka mendakwa pihak berkenaan telah menggunakan nama Search tanpa kebenaran Amy, Nasir dan waris Yazit.

Antara yang dibangkitkan adalah Mozylir dan Home of Champions menggunakan nama ‘fenomenasearch’ melalui laman web www.fenomenasearch.com serta menggunakan alamat e-mel yang memakai nama domain ‘fenomenasearch.com’. 

Selain itu, ia merangkumi penjualan pakaian dan aksesori menggunakan nama Search atau imej yang berkaitan dengan Search melalui laman web itu, Facebook, Instagram dan Shopee serta menjual kasut jenama Aliph x Search – Edisi 2021 dengan penjualan terhad kepada 999 unit.

“Pihak kami sudah mengambil nasihat guaman dan mengeluarkan tuntutan terhadap Mozylir dan Home of Champions untuk menghentikan kegiatan itu,” katanya.

Pada masa sama, mereka turut menjelaskan mengenai persetujuan bersama untuk menjaga hak Yazit walaupun selepas pemain drum itu meninggal dunia pada 2019. 

“Selepas Yazit meninggal dunia, anggota Search bersetuju untuk memastikan hak-hak Yazit kepada nama Search dan kerja-kerjanya untuk Search sejak tahun 1981 akan diberikan kepada waris-warisnya,” katanya.

Sementara itu, Home of Champions dalam satu kenyataan di Facebook berkata, pihaknya akan membuat kenyataan menerusi peguam mereka dalam masa terdekat ini. 

The post Home Of Champions Diminta Menghentikan Penggunaan Nama Search Untuk Penjualan Produk appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.