Ads Top

Netizen Jadi Penentu Kepada Plot Twist Drama ‘Mis Tres Hermanas’ Malaysia

Drama bersiri ‘Hati Yang Dikhianati’ terbitan Astro Prima dan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. merupakan sebuah lagi naskhah adaptasi melayu daripada telenovela popular Venezuela, ‘My Three Sisters’ atau lebih dikenali dengan judul asal dalam Bahasa Sepanyol iaitu ‘Mis Tres Hermanas’.

Kisah melodrama yang diterajui oleh Ricardo Alamo, Scarlet Ortiz dan Roberto Moll pada ketika itu pernah mencetuskan fenomena luar biasa ketika siri tersebut ditayangkan di Malaysia sekitar tahun 2002.

Tampil dengan format berbeza berbanding sebarang karya adaptasi yang pernah diterbitkan sebelum ini di platform Astro, buat julung kalinya struktur naratif penceritaan dan pembinaan watak naskhah ini bakal ditentukan berdasarkan konsep model interaktif terbuka atau ‘open-ended’. 

Ia dipengaruhi oleh maklum balas audiens dan rekod jumlah tontonan dari semasa ke semasa dan jumlah keseluruhan episod untuk drama adaptasi ini juga turut bergantung kepada penerimaan penonton.

Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd. Salleh berkata, seperti yang umum ketahui, trend pembikinan drama dan kecenderungan audiens sering berubah mengikut peredaran masa.

“Terbaharu, kami ingin mengorak langkah terus ke hadapan untuk melakar sejarah baharu dengan memperkenalkan format interaktif ‘open-ended’ menerusi drama adaptasi Hati Yang Dikhianati.

“Menerusi format ini, kami memberikan kuasa kepada netizen untuk menentukan plot twist dan kesudahan yang mereka mahukan untuk drama ini. Sesebuah watak boleh berkembang atau dimatikan mengikut kecenderungan audiens. Begitu juga dengan jalan penceritaan secara keseluruhan,” jelasnya.

Karya ‘Mis Tres Hermanas’ versi Malaysia ini diarahkan oleh sutradara Riza Baharuddin serta turut menampilkan barisan penulis skrip yang diketuai oleh Eenaz Mokhtar. 

Antara barisan pelakon yang membintangi drama bersiri ini termasuklah Isyariana, Amar Baharin, Mona Allen, Zamarul Hisham, Che Puan Syamim Farid, Afifah Nasir, Arena Iman, Shah Iskandar, Mia Nasir, Fazlina Ahmad Daud, Sahronizam Noor serta ramai lagi.

Drama Hati Yang Dikhianati bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 12 April 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. – KopiPlanet.com

The post Netizen Jadi Penentu Kepada Plot Twist Drama ‘Mis Tres Hermanas’ Malaysia appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.