(Video) Ular Sawa ‘Gergasi’ 10 Meter Berjaya Dirakam Buat Penduduk Gerun, Ia Sembunyi & Belum Ditemui
Kemunculan seekor ular sawa gergasi dengan panjang kira-kira 10 meter mengejutkan penduduk di Petamburan, Tanah Abang, Jakarta Pusat pada Selasa (9 Februari).
Memetik laporan Tribun News, ular sawa berkenaan dikatakan muncul berhampiran kawasan pintu air dan rumah penduduk di Petamburan.
Menerusi video pendek yang sempat dirakamkan oleh seorang penduduk, ular sawa itu dilihat sedang melingkar perlahan di celahan batu.
”Ini di kawasan Petamburan di pinggir pintu air ada ular yang sangat besar,” kata penduduk yang merakam video tersebut.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jakarta Pusat, Asril Rizal, mengakui pihaknya telah menerima laporan dari penduduk setempat mengenai penemuan ular itu pada Selasa petang.
Pegawai yang dihantar ke lokasi tidak berjaya menjumpai ular berkenaan kerana sudah bersembunyi.
“Tetapi sampai sekarang ular itu belum ditangkap dan kita akan mencarinya lagi,” kata Asril ketika dihubungi Tribun News.
Beberapa penduduk yang ditemui berkata, mereka panik selepas melihat kehadiran ular sawa gergasi di kawasan itu dan menunggu di pinggir sungai untuk melihat kemunculannya.
”Ular sawa itu sedang bersembunyi di lubang-lubang di celahan batu.
”Panjangnya kira-kira sepuluh meter, sangat besar,” kata seorang penduduk yang menyaksikan kejadian tersebut.
Difahamkan, ular sawa yang ditemui di kawasan Petamburan merupakan sejenis ular dari suku Pythonidae yang besar dan mempunyai ukuran badan terpanjang di antara ular lain.
Ukurannya yang terbesar dikatakan melebihi 8.5 meter dan merupakan ular terpanjang di dunia iaitu lebih panjang daripada anaconda (Eunectes), ular terbesar dan terpanjang di Amerika Selatan.
Sumber: Tribun News
The post (Video) Ular Sawa ‘Gergasi’ 10 Meter Berjaya Dirakam Buat Penduduk Gerun, Ia Sembunyi & Belum Ditemui appeared first on Siakap Keli.
No comments: