Ads Top

Riena Diana Tidak Dapat Tahan Sebak Ketika Dengar Pendedahan Pengasas Produk C-MARY Yang Juga Seorang OKU

Pelakon Riena Diana tidak dapat menahan sebak sewaktu mengadakan sesi Instagram TV (IGTV) secara langsung setelah mendengar pendedahan eksklusif oleh pengasas produk kesihatan C-MARY, Siti Mariam yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Ketika sesi tersebut berlangsung, Riena dilihat beberapa kali mengelap air matanya ketika mendengar perkongsian hidup yang dibuat bagi membantu insan-insan yang terpilih setiap minggu.

Menurut pelakon drama Kampung People ini, dia akui secara tiba-tiba menjadi sebak kerana kisah tersebut telah menyentuh hatinya.

“Kita sama-sama berkongsi rezeki, yang mana saya boleh tolong, saya akan cuba tolong mereka. Orang yang nampak kecil ini, mereka sebenarnya kuat semangat. Apa yang Kak Siti kongsikan menyentuh perasaan kita. Bila dengar pun, automatik kita akan rasa ‘Ya Allah bersyukurnya apa yang aku ada sekarang.

“Contohnya macam saya sendiri. Beberapa hari lepas menangis kerana risau dengan kehidupan serta terpaksa bekerja keras. Tetapi apa-apa pun sebenarnya ada orang lain lagi yang lebih susah daripada kita. Jangan sesekali mengeluh kerana mereka lebih susah daripada kita sebagai contoh kisah Kak Siti tetapi dia tetap kuat,” luahnya.

Tambah Riena lagi, melihatkan ramai orang di luar sana mengalami kesempitan hidup dan bersusah payah mencari rezeki, membuatkan dia terinspirasi untuk mengadakan segmen tersebut pada setiap minggu.

Bukan hanya membantu mereka, malah secara tidak langsung ujarnya ia akan memberi kesedaran buat dirinya yang kini sedang mengusahakan perniagaan laksa secara kecil-kecilan.

“Terima kasih kepada Kak Siti kerana sudi berkongsi mengenai kehidupannya. Kita sama-sama tolong tanpa mengira siapa pun kita. Macam saya mungkin pengikut saya ramai dan itulah rezeki saya. Saya cuba kongsikan segala apa yang boleh.

“Semoga perkongsian ini dapat memberi kesedaran dan semangat buat semua orang terutama mereka yang menjalankan perniagaan. Jangan putus asa.Walau apa jadi sekali pun kita mesti teruskan dan pesanan ini juga dititipkan buat diri saya,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Siti pula berkongsi pengalaman hidupnya buat pertama kali membuatkan dia berasa terharu kerana diberi peluang untuk bersiaran langsung bersama Riena.

“Enggan menjaja kisah pahitnya terdahulu untuk meraih simpati, sebaliknya bagi ibu kepada dua cahaya mata ini dia ingin menunjukkan bahawa OKU sepertinya juga mampu berjaya tanpa perlu berputus asa.

“Saya orang biasa, tak tahu apa-apa sangat mengenai sosial media tiba-tiba dipelawa oleh selebriti popular seperti Riena untuk berkongsi kisah hidup, saya rasa bersyukur dan terharu sangat.

“Saya sebenarnya merupakan pemegang kad OKU kerana insiden tergelincir pada Januari 2012 sewaktu pulang dari bekerja membuatkan saya tidak mampu berjalan seperti biasa. Ketika itulah, bermula titik hitam dalam kehidupan saya apabila doktor mengesahkan urat kaki saya putus,” jelasnya.

Menurut Siti, dia sendiri tidak menyangka akan diuji sedemikian memandangkan kesan daripada insiden itu dia tidak mampu berjalan seperti biasa.

Jelasnya, biarpun diuji dengan pelbagai dugaan yang tidak tertanggung, dia nekad untuk mencari penawar penyakitnya sehinggalah tampil dengan produk sendiri.

“Saya akui sudah berhabis ribuan ringgit untuk sembuh tetapi saya tidak mengalah. Sehinggalah saya berjaya menemui ‘supplement’ yang membantu saya kembali berjalan seperti normal.

“Saya nekad untuk mengeluarkan produk sendiri dan berharap untuk membantu orang ramai untuk kembali sihat seperti saya,” dedahnya

Menjadikan dirinya sebagai testimoni yang berjaya, Siti juga mendoakan agar lebih ramai golongan OKU diluar sana untuk berjaya dalam bidang masing-masing dan buktikan pada orang ramai bahawa kekurangan pada diri bukanlah satu batasan.

Dalam perkembangan lain, sesi perkongsian tersebut turut mencuri perhatian warganet apabila video yang dimuatnaik oleh Riena tular di laman Twitter.

Rata-rata daripada mereka memuji sikap prihatin pelakon ini yang sudi meluangkan masa dan berkongsi platform untuk membantu mereka yang memerlukan. – KopiPlanet.com

The post Riena Diana Tidak Dapat Tahan Sebak Ketika Dengar Pendedahan Pengasas Produk C-MARY Yang Juga Seorang OKU appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.