Ads Top

Raih Sehingga RM243,000, Peladang Tawar Khidmat ‘Video Call’ Dengan Kambing Ketika ‘Zoom Meeting’ Terima 10,000 Panggilan

Bermula daripada gurauan dengan rakannya, seorang peladang di England kini menyediakan perkhidmatan panggilan video dengan kambing miliknya sebagai hiburan ketika mesyuarat atas talian.

Menurut Washington Post, Dot McCarthy, 32, menawarkan perkhidmatan tersebut untuk individu yang ingin membuat kejutan dengan penampilan seekor kambing dalam panggilan video berkumpulan. Secara tiba-tiba, seekor kambing akan muncul dengan namanya terpapar pada skrin dalam panggilan tersebut tidak kira ia melibatkan sambutan hari lahir mahupun mesyuarat perniagaan yang lebih serius.

“Ia bermula sebagai gurauan,” kata McCarthy.

“Beberapa kawan yang bekerja dalam sektor teknologi berkata betapa bosannya mereka dengan panggilan video. Saya membalas, “Tahu tak apa yang akan menghiburkan? Kalau ada kambing muncul dalam panggilan tu”,” katanya sebagai gurauan.

Bagaimanapun, ‘gurauan’ itu menunjukkan hasil apabila kambing-kambing berkenaan mendapat permintaan yang tinggi untuk muncul dalam panggilan video dari pelbagai negara.

Tambah portal itu, dalam tempoh kurang 24 jam selepas mengiklankan perkhidmatan tersebut, McCarthy mendapat lebih 200 emel pada pagi berikutnya meminta untuk membuat panggilan bersama kambing peliharaannya.

Sejak ditawarkan sebelas bulan lalu, perusahaan itu telah mengendalikan lebih 10,000 panggilan video berdurasi lima minit dalam platform konferens atas talian.

Jelas McCarthy, pada mulanya dia berniat untuk membuatkan orang ketawa dengan kemunculan kambing tersebut sebelum menjual produk ladangnya seperti telur dan daging. Bagaimanapun, melihat kepada respon orang ramai yang teruja dengan penampilan itu, McCarthy meneruskan perkhidmatan berkenaan pada harga $6 (bersamaan kira-kira RM24.38).

Sehingga kini, dia berjaya memperoleh $60,000 (lebih RM243,000) hasil panggilan video dengan kambing-kambing ternakan di ladang itu.

“Salah satu ubat terbaik pada saat ini ialah ketawa dan berhibur, walaupun hanya lima minit,” katanya.

“Kamu akan nampak manusia menjerit dan berkatai, ‘Kenapa ada kambing di sini?” kata McCarthy dan menambah bahawa setiap kambing akan dilabel dengan nama sebelum memasuki panggilan yang diterima.

Sumber: Washington Post

The post Raih Sehingga RM243,000, Peladang Tawar Khidmat ‘Video Call’ Dengan Kambing Ketika ‘Zoom Meeting’ Terima 10,000 Panggilan appeared first on Siakap Keli.




No comments:

Powered by Blogger.