Janna Nick Terima Ugutan & Serangan Peribadi, Tegaskan Ia Kesalahan Jenayah Serius Jejas Namanya & Janna Nick Studios
Pelakon Janna Nick menegaskan bahawa pasukan peguamnya termasuk pihak berkuasa sedang dalan proses menyimpan segala rekod berhubung tohmahan terhadap dirinya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pelakon itu juga menyatakan kontroversi berkenaan suatu kesalahan jenayah yang serius sehingga telah mengakibatkan kerosakan termasuk menjejaskan reputasi dan nama baik dirinya dan Janna Nick Studios.
“Saya juga dimaklumkan pihak berkuasa, termasuk tetapi tidak terhad kepada pasukan polis, pegawai penyiasat dan pasukan peguam saya sedang dalam proses menyimpan segala rekod yang diterbitkan di Twitter, Instagram, Facebook dan semua media sosial yang memfitnah, membuat ugut jenayah serta menyebarkan tohmahan dan hashtag negatif membabitkan perkara ini untuk tindakan undang-undang.
“Ia akan mengakibatkan mereka disaman dan dihadapkan ke Mahkamah kerana salahlaku mereka adalah suatu kesalahan jenayah yang serius dan/atau telah mengakibatkan kerosakan termasuk menjejaskan reputasi dan nama baik saya dan Janna Nick Studios bukan sahaja di dalam Malaysia bahkan di luar negara.
“Sama ada pesalahlaku ini sedar ataupun tanpa sedar, tindakan tidak bertanggungjawab yang mereka lakukan ini sama seperti mengada-adakan sesuatu yang tidak wujud malah diperbesar-besarkan dan ini mencalarkan imej negara dan kita sendiri secara amnya selaku rakyat Malaysia di kalangan pengguna media sosial dan dunia Maya global,” tegasnya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai isu berkenaan, Janna berkata dia telah memberikan penjelasan menerusi video yang telah dimuat naik, namun terdapat individu terus membuat kenyataan fitnah apabila mengatakan dirinya mempersendakan mendiang Kim Jong-hyun serta Lisa Manoban.
“Saya juga berdepan dengan ugutan jenayah dan serangan peribadi terhadap Janna Nick dan Janna Nick Studios. Saya ulangi di sini, saya sama sekali tidak mempersendakan mana-mana individu.
“Apatah lagi mempersendakan mendiang Kim Jong-hyun menerusi video yang direkodkan dan dimuatnaik oleh Sharifah Sakinah pada tahun 2018 yang kini telah dimuatnaik dan disensasikan semula di media sosial ataupun menyamakan Lisa Manoban dengan ‘Lisa Blackpig’ sebagaimana yang ditohmah,” jelasnya.
Sementara itu, berkenaan tohmahan yang kononnya dia menyamakan atau menggelar Lisa Manoban sebagai ‘Lisa Blackpig’, Janna menegaskan ia adalah terpesong sama sekali.
Jelasnya, sebagai seorang individu yang juga meminati ‘Korean culture’ yang bukan setakat industri hiburan mereka bahkan budaya, fesyen, makanan, teknologi, kecantikan dan tempat-tempat di Korea, tohmahan sebegitu terhadap dirinya adalah sangat tidak berasas.
“Saya sendiri pernah berkolaborasi dengan pihak pengurusan serta artis Korea dalam kerjaya saya dan saya amat menghormati mereka. Ianya adalah amat pelik dan tidak boleh diterima akal untuk saya menggelar atau menyamakan nama besar dalam industri seperti Lisa Manoban Blackpink dengan sebarang nama yang mengaibkan.
Namun begitu, saya telah dilemparkan dengan pelbagai tuduhan, ugutan jenayah dan serangan peribadi daripada pesalahlaku-pesalahlaku secara terang-terangan mahupun secara personal di mana mereka turut menyebarkan hashtag dan kata-kata kesat yang mengaibkan, menjatuhkan serta merosakkan nama baik saya serta Janna Nick Studios bukan setakat dalam negara bahkan di luar negara,” ujarnya. – KopiPlanet.com
The post Janna Nick Terima Ugutan & Serangan Peribadi, Tegaskan Ia Kesalahan Jenayah Serius Jejas Namanya & Janna Nick Studios appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: