Ads Top

Delen Cubaan Pertama Buat Janna Nick Selaku Pengarah & Penerbit

Setelah 10 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, pelakon Janna Nick melangkah setapak lagi dengan melebarkan sayap menjadi seorang pengarah dań penerbit.

Langkah berani pelakon itu dimulakan dengan penerbitan telefilem berjudul Delen yang bakal ditayangkan pada 13 Februari ini pada pukul 9.00 malam di saluran Astro Citra.

Apa yang menariknya, telefilem terbitan syarikat milik Janna iaitu Janna Nick Studios itu turut membariskan pelakon hebat tanah air seperti Sean Lee, Sherry Al Hadad, Mark Adam, Joey, Dini Schatzmann dan Norreen Iman.

Janna berkata, dia memilih genre komedi romantik sebagai buah tangan sulungnya itu yang memaparkan kisah percintaan remaja di sekolah.

“Pada mulanya saya berasa genre dan jalan cerita sebegini lebih mudah untuk mengarah, tetapi sebenarnya tidak terutama sekali ketika proses suntingan. Kalau dengar komedi romantik memang ringan, tapi nak hasilkan karya sebegini agak sukar juga.

“Namun begitu, apabila sudah terbabit dalam bidang pengarahan dan penerbitan, ia memang memberi pengalaman baharu. Saya mula melihat skop pekerjaan dunia hiburan dengan lebih serius dan perspekif lebih besar,” ujarnya.

Jelas Janna, berbanding tanggujawabnya sebagai sebagai pelakon sahaja, kali ini dia perlu melalui semua perkara dalam bidang penerbitan.

Ujarnya, dalam masa sama dia melihat ia memberi kesan daripada segi kerjaya lakonan yang mana dia perlu lebih peka terhadap kerja pengarah dan penerbit.

“Apabila duduk di kerusi pengarah juga, baru saya rasa macam mana kalau pelakon tidak memberi. Baru faham setiap pengarah ini ada ‘look’ dan ‘feel’ yang mereka mahukan.

“Dalam erti kata lain, pemahaam pelakon dan pengarah tak sama. Menjadi pelakon kena hormat kerja pengarahan,” katanya.

Berkongsi mengenai tugas baharunya itu, Janna yang kini muncul menerusi drama Marry Me Senorita di saluran Astro Ria berkata, penghasilan teleflem Delen itu bukan sekadar satu percubaan sebaliknya dia serius untuk terus menghasilkan lebih banyak karya selepas ini.

“Alhamdulillah, tahun ini genap 10 tahun dalam industri. Dari segi nak mengarah, diakui saya memang tiada kelulusan itu, cuma saya ada pengalaman. Dari awal lagi masuk industri saya memang niat dan bercita-cita mahu menjadi pengarah. 

“Malah, saya masuk industri pun mahu serius dalam bidang ini. Bukan nak kejar populariti dan glamor saja. Jadi, tidak salah untuk saya mencuba dan meneroka bidang baharu pula. Apabila saya menerbit dan mengarah telefilem ini, ia bukan satu percubaan dan saya takkan berhenti,” katanya.

Menurutnya, selepas ini ada satu lagi telefilem terbitan syarikatnya yang akan ditayangkan berjudul Jeti ia sudah siap menjalani penggambaran.

“Kali ini saya membawakan genre berat dan penuh emosi lakonan hebat Nabila Huda dan Fauziah Nawi.

“Untuk cerita ini saya memberi fokus kepada pengarahan dan penerbitan saja. Ternyata, untuk genre ini ia lebih mudah berbanding komedi romantik,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Janna lagi membabitkan diri dalam bidang penerbitan juga satu percaturan buat dirinya termasuk dalam soal untung dan rugi.

“Saya sudah bersedia samada sebagai penerbit atau pengarah. Disebabkan itu saya mencabar dan memberanikan diri menerbitkan telefilem di bawah syarikat sendiri. Kalau nak mengharap peberbit lain ambil saya mengarah mungkin lambat lagi. Jadi, saya kena melabur sendiri.

“Ini bukan soal mencari keuntungan, tapi ia lebih kepada kepuasan. Malah, saya boleh tentukan ‘look’ mana saya nak dalam setiap karya dihasilkan. Mungkin kalau dengan produksi lain akan ada kekangan,” katanya.

Mengakui berdebar dengan tayangan telefilem Delen, Janna mengalu-alukan dan terbuka untuk menerima sebarang kritikan membina daripada penonton.

“Mengarahkan pelakon, jurukamera dan kru berpengalaman sangat mencabar. Sudah tentu mereka akan berfikir apa kredibiliti yang saya ada.

“Jadi, ini memang mencabar dan menjadi satu cabaran besar buat saya. Duduk di kerusi pengarah, bukan setakat ‘cut & action’,” ungkapnya.

Janna berkata, memandangkan Delen adalah buah tangan pertama syarikatnya, dia memerlukan kritikan semua orang untuk dia memperbaiki dan meningkatkan lagi kualiti kerja.

“Saya kena belajar terima kritikan dengan hati terbuka. Saya tidak boleh letakkan diri bagus. 

“Saya akan terus belajar. Lebih baik tegur dan kritik sekarang daripada tidak ada langsung,” katanya.

Telefilem Delen menampilkan kisah cinta remaja antara Delen (Sean Lee) dan Robert (Dini) yang merebut cinta Emily (Janna). Robert menganjurkan pertandingan berenang dan meletakkan syarat pemenang pertandingan itu akan berjaya memiliki cinta Emily.

Siapakah yang menjadi pilihan Emily? Adakah Delen atau Robert berjaya mendapatkan cinta Emily? Jangan lupa saksikan telefilem Delen, 13 Februari ini di saluran Astro Citra. – KopiPlanet.com

The post Delen Cubaan Pertama Buat Janna Nick Selaku Pengarah & Penerbit appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.