4 Tip Untuk Kekalkan Azam Tahun Baru
Azam bermaksud keinginan untuk mencapai satu tujuan atau cita-cita. Setiap kali masuknya tahun baharu, kita memasang azam yang baharu sebagai tanda syukur dengan merancang masa hadapan dan merefleksi atau membuat muhasabah apa-apa peristiwa yang memberi pengajaran dan juga pencapaian yang terlaksana.
Masuknya tahun baharu boleh dianalogikan seperti memperoleh “buku baharu” yang kosong, bersih dan suci yang Allah anugerahkan. Dan kita pun berazam untuk jadi lebih baik dan lebih matang daripada tahun-tahun sebelumnya. Tujuannya untuk kita penuhkan lembaran putih yang kosong dalam buku baharu itu dengan skrip kehidupan yang positif dan bermakna.
Namun, adakalanya kita gagal untuk mengekalkan azam yang dibina sehingga akhir tahun. Semangat yang berkobar-kobar pada hari pertama, bulan pertama tahun baharu makin lama makin sirna bahangnya. Akibatnya, belum sempat masuk suku pertama tahun baharu, keyakinan kita bagai jatuh ke lantai lantas memecahkan cermin azam yang mahu dipelihara. Tambahan pula dalam suasana pandemik wabak COVID-19 yang masih belum ada tanda umtuk surut, mengusutkan lagi keadaan. Kita jadi buntu dan keliru.
Menurut majalah Inc. Magazine, sejumlah 60% akan membuat azam tahun baharu namun, hanya 8% sahaja yang benar-benar mengekalkan azam mereka sehingga terlaksana. Di mana silapnya kita dalam mencipta dan meletakkan azam baharu? Apakah tip yang terbaik untuk mengekalkan momentum agar azam tahun baharu dilindungi dan tidak dikhianati?
Perbezaan Di Antara Azam Dan Matlamat
“Tahun ini saya mahu membaca 20 buah buku,” jawab seorang teman ketika saya menanyakan azam beliau. Pada dasarnya, kenyataan sahabat itu bukan merujuk pada azam, tetapi matlamat.
Matlamat atau goals itu fokusnya pada hasil akhir, apakah boleh dicapai atau tidak? Sebagai contoh, tahun ini saya mahu kurangkan berat badan sebanyak 10 kg atau saya mahu tingkatkan jualan bisnes dalam talian saya sebanyak 30%.
Berbeza dengan azam yang fokusnya pada proses perlaksanaan. Bagaimana anda menentukan pengalaman yang anda mahu miliki? Ia bukan tentang apa yang mahu dicapai, tetapi bagaimana mahu melaksanakannya?
Oleh sebab itu apabila meletakkan azam, kita akan melihat kepada kapasiti atau kemampuan dan susunan keutamaan (priority) dalam hidup. Dan inilah yang akan mempengaruhi tindakan dan rutin kita setiap hari, sama ada ia selari atau jauh menyimpang dengan azam yang kita letakkan.
Azam | Matlamat |
Fokus pada perlaksanaan | Fokus pada hasil akhir atau outcome |
Tentukan pengalaman yang mahu dimiliki. Ia tentang bagaimana mahu mencapai pengalaman tersebut. | Menafikan pengalaman.Ia tentang apa-apa yang mahu dicapai sama ada berhasil atau tidak. |
Bergantung pada kemampuan dan susunan keutamaan seseorang. Fleksibel dan boleh dikawal. | Oleh sebab ia hanya tentang hasil, selalunya sukar dikawal lebih-lebih lagi jika matlamat itu kurang realistik. |
Ringkasnya, azam merujuk kepada niat dan matlamat itu pula ialah hasil akhir yang diingini. Apabila azam yang diletakkan itu jelas dan memenuhi kemampuan, matlamat akan jadi lebih mudah untuk dicapai.
Di sini saya sertakan empat panduan untuk membantu anda membina dan mengekalkan azam tahun baharu yang selari dengan impian dan sesuai dengan kemampuan.
#1- Kenal Pasti Perkara Yang Anda Ingin Ubah Dan Baiki
Dalam membina azam untuk tahun baharu adalah sangat penting untuk kita mengetahui di manakah kedudukan kita pada tahun sebelumnya. Oleh hal yang demikian, adalah wajar untuk kita membuat refleksi adakah kita berada di tahap yang membanggakan atau sebaliknya? Barangkali ada pengalaman tahun lalu yang kita mahu baiki supaya tidak berulang pada tahun baharu.
Sebagai contoh pada tahun lalu saya gagal menyempurnakan azam saya iaitu untuk menyiapkan manuskrip buku solo saya. Saya berasa terbeban dengan kerja-kerja hakiki dan juga kerja-kerja yang ‘kurang penting’ sehingga saya tiada masa dan tenaga untuk fokus kepada penulisan.
#2- Kenal Pasti Punca Masalah Atau Halangan-halangan Yang Berlaku
Salah satu sebab saya berasa terbeban berpunca daripada pengurusan masa yang tidak efektif dan kegagalan menyusun keutamaan dalam kehidupan. Akibatnya, masa yang Allah amanahkan difokuskan kepada perkara-perkara yang kurang penting. Projek penulisan yang sepatutnya dijadikan keutamaan dipinggirkan sehinggalah sampai ke akhir tahun, buku solo saya tidak siap-siap.
#3- Bina Sistem Kelaziman Yang Berkekalan
Tahun ini saya berazam untuk fokuskan tenaga dan masa saya untuk menyiapkan buku solo. Untuk memelihara azam itu saya perlu susun jadual harian saya dengan rutin yang selari dan tinggalkan rutin yang bercanggah. Rutin ini dibina, sedikit demi sedikit setiap hari sehingga menjadi kelaziman.
Sebagai contoh saya akan pastikan setiap hari saya akan peruntukkan satu jam untuk menulis pada waktu pagi dan satu jam pada waktu malam. Dengan sistem begini, saya mudah untuk mengawal fokus dan tenaga saya setiap hari supaya selari dengan azam saya. Berbeza dengan, “Saya mahu menulis 1000 patah perkataan setiap hari”, ia terlalu berat untuk saya pikul dan barangkali rutin itni tidak dapat bertahan lama.
#4- Rekod Dan Raikan Kemajuan
Catatkan azam anda di dalam diari atau buku nota harian. Setiap hari rekodkan rutin yang telah anda tetapkan untuk mencapai matlamat yang anda inginkan. Pantau pencapaian anda setiap minggu. Raikan dengan membeli hadiah untuk diri sendiri jika anda berjaya mengekalkan matlamat mingguan anda. Dengan adanya sistem self-reward ini anda akan jadi lebih bermotivasi untuk meneruskan azam anda sehingga akhir tahun.
Saya berharap empat panduan di atas boleh dijadikan panduan untuk membina dan mencipta azam tahun baharu yang lebih kemas dan tersusun, sesuai dengan kemampuan dan selari dengan impian.
Sematkan dalam hati setiap hari Allah anugerahkan peluang baharu untuk kita perbaiki urusan kehidupan di dunia dan akhirat dan peluang untuk kita membantu orang lain dalam urusan dunia dan akhirat mereka menerusi khidmat dan dakwah.
The post 4 Tip Untuk Kekalkan Azam Tahun Baru first appeared on Tazkirah.“Everyday is a new opportunity for me to better my worldly life and afterlife and an opportunity for me to help others in regards to their dunya and akhirah through services and dakwah.”
No comments: