Ads Top

Kisah Rasulullah Berdoa Meminta Hujan Diredakan

Berdasarkan informasi daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, tinjauan cuaca bagi tahun 2021, kebanyakan kawasan di ngeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang di Semenanjung dijangka menerima hujan yang berpanjangan, begitu juga di kawasan-kawasan bahagian timur dan beberapa kawasan semenanjung lain.

Cuaca hujan yang berpanjangan telah mengakibatkan beberapa kawasan terjejas sehingga banjir juga mengakibatkan bencana lain seperti tanah runtuh dan jalan yang terputus.

Sudah tentu, apabila berlaku bencana ini, ramai yang meluahkan rasa kebimbangan mereka kerana ia telah mengakibatkan beberapa aktiviti juga terjejas serta ada yang sehingga kehilangan nyawa.

Apabila berlakunya cuaca hujan yang berpanjangan ini, adakah dibolehkan melakukan solat hajat bagi mendoakan agar hujan diredakan?

Dalam hal ini, melihat kepada penerangan yang telah diberikan oleh ulama, jika ingin menolak hujan dengan melakukan amalan seperti berdoa atau menunaikan solat, maka ia adalah dibolehkan.

Hal ini kerana melihat kepada kesan hujan yang telah memberi mudarat kepada manusia.

Ia juga berdasarkan kepada kisah yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW di mana pada waktu itu berlaku hujan yang sangat lebat sehingga memberi kemudaratan.

Kisah ini ada diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata;

Maksud: “Ketika Nabi SAW sedang menyampaikan khutbah pada hari Jumaat, maka berdirilah seorang lelaki lalu berkata – “Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar Dia menurunkan hujan kepada kami.”

Maka, Rasululah SAW pun berdoa kepada Allah. Keadaan langit kemudian bertukar menjadi gelap gelita dan hujan pula turun dengan lebatnya. Sehinggalah apabila lelaki tersebut sampai ke rumahnya, maka hujan tetap turun secara berterusan sehinggalah pada hari Jumaat yang berikutnya.

Maka, lelaki tersebut (atau lelaki lain) berkata – “Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar Dia mengalihkan hujan dari kamu kerana sesungguhnya kami telah tenggelam (disebabkan hujan lebat yang berterusan).”

Lalu, Rasulullah berkata – “Ya Allah, turunkanlah ke kawasan sekitar kami dan janganlah Kau turunkan ia ke atas kami.”

Maka, awan pun berpecah-pecah di kawasan sekitar Madinah dan tidak diturunkan hujan kepada penduduk Madinah.” (HR Bukhari, no. 6432)

Kesimpulan

Justeru, melalui kisah ini dapat kita lihat bahawa boleh untuk berdoa meminta kepada Allah agar diturunkan hujan dan juga untuk meredakan hujan.

Namun, ia perlu dilakukan dengan mengikut syariat Islam yang sebetulnya dan bukannya dengan melakukan ritual yang boleh mendatangkan syirik.

Wallahu a’alam

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Kisah Rasulullah Berdoa Meminta Hujan Diredakan first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.