Ads Top

Emelda Rosmila Enggan Mediasi, Kes Saman Fitnah Siber Zarina Anjoulie Dibawa Ke Mahkamah Tinggi

Pelakon Emelda Rosmila telah menolak saranan mahkamah untuk menyelesaikan krisis undang-undang melalui proses mediasi dengan pelakon Zarina Anjoulie Lavocah.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Saiful Ridzuan Public Relations & Communications, Emelda selaku defendan didakwa telah memfitnah, melakukan pembulian siber dan penyerangan reputasi terhadap usahawan media sosial yang terkenal melalui kerja amalnya itu.

Pada 15 Oktober 2020, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah mencadangkan agar kedua-dua pihak menjalani proses mediasi.

Zarina Anjoulie telah mengusulkan kepada Emelda pada 19 November 2020 agar proses tersebut diadakan pada bulan Januari, Februari atau Mac tahun ini.

Bagaimanapun, Emelda menjawab melalui peguamnya pada 25 November 2020 bahawa dia enggan mengambil bahagian dalam proses mediasi untuk mencapai penyelesaian dan menyelesaikan krisis undang-undang bagi kedua-dua pihak ‘pada peringkat ini’.

“Kami berharap semuanya berjalan lancar seperti yang dicadangkan mahkamah dan kedua-dua pihak dapat mencari jalan penyelesaian.

“Namun, kerana Emelda tidak mahu meneruskan mediasi, nampaknya kes ini akan melalui bicara penuh dan kami pasti akan memberikan yang terbaik untuk anak guam sewaktu perbicaraan di mahkamah nanti,” kata peguam Zarina Anjoulie, Wan Azmir Wan Majid dari firma guaman NHA Advocates And Solicitors.

Jelasnya, kes fitnah siber tersebut telah diluluskan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur seperti yang dimohon oleh peguam Emelda.

Menurutnya lagi, ini adalah kali kedua Emelda memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

“Kali pertama ianya diajukan, Zarina Anjoulie tidak membantah, tetapi permohonan tersebut ditarik balik oleh defendan Emelda setelah permohonan dibuat bagi alasan yang hanya diketahui oleh beliau.

“Setelah itu, permohonan tersebut diajukan kembali, dan sekali lagi, kami tidak keberatan menurut kemahuan pihak Emelda Rose tetapi kali ini kami memohon agar kos pindahan dibayar oleh defendan,” ujarnya.

Pada minggu ini, mahkamah telah memerintahkan defendan Emelda untuk membayar kos kepada Zarina Anjoulie bagi membolehkan kes sivil tersebut untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Dalam pada itu, pengurus krisis Zarina Anjoulie, Saiful Ridzuan dari Saiful Ridzuan Public Relations And Communications mengesahkan bahawa Zarina terbuka untuk menyelesaikan krisis undang-undang tersebut melalui proses mediasi.

Dalam kenyataan itu lagi, usahawan tersebut akan mengikut nasihat dari barisan peguam yang telah dilantik bagi tindakan selanjutnya.

“Zarina Anjoulie tetap komited bagi memulihkan imej, reputasi dan jenama peribadinya,” katanya.

Usahawan selebriti itu menyaman Emelda pada tahun lepas setelah dia didakwa difitnah oleh pelakon tersebut di aplikasi Telegram dan akaun media sosial.

Zarina menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi untuk mengelakkan defendan Emelda Rose memfitnahnya di masa depan. Selain itu, Zarina mahu permohonan maaf dalam tetapan awam disiarkan di media cetak dan akaun media sosial Emelda Rose.

Wan Azmir Wan Majid, Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zuklifli juga mewakili Zarina Anjoulie Lavocah bagi saman fitnah sibernya terhadap Amyza Aznan dan Fara Mendoza. – KopiPlanet.com

The post Emelda Rosmila Enggan Mediasi, Kes Saman Fitnah Siber Zarina Anjoulie Dibawa Ke Mahkamah Tinggi appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.