Ads Top

Diva AA Berhasrat Mahu Hasilkan Filem Lontong The Movie, Skrip Sudah Siap Sejak 20 Tahun Lalu

Sekitar tahun 1996, Azwan Ali atau lebih sinonim dengan Diva AA pernah mengarahkan sebuah drama komedi berjudul Lontong yang ditayangkan di TV3.

Ia menceritakan kisah kanak-kanak bernama Lonyah dan Tong yang tinggal sekampung tetapi saling tidak menyukai dan berlatarbelakang bulan Ramadan dan Syawal dengan menampilkan Ogy Ahmad Daud dan Salih Yaacob sebagai teraju utama.

Kini setelah 25 tahun, Diva AA selaku pengarah mempunyai hasrat untuk mengadaptasikannya ke dalam filem menerusi Lontong The Movie.

“Untuk filem ini segala bajet daripada TV3, mana tahu ia jadi kenyataan. Saya sanggup kembali mengarah, tetapi itulah satu sentuhan terakhir saya untuk filem ini.

“Saya akan ambil pelakon-pelakon baharu untuk membintangi filem ini. Ramai yang tanya Wak Tong tu Salih Yaakob dan Lonyah tu Ogy… jawapan saya tidak kerana zaman mereka sudah habis. Mungkin mereka dijemput, tetapi jadi nenek atau datuk,” jelasnya.

Selain Ogy dan Salih, drama Lontong turut dibintangi ramai pelakon lain seperti Jalil Hamid, Allahyarhamah Yusni Jaafar, Nanu Baharudin, Shaharudin Thamby dan Syanie.

Turut membuat penampilan adalah, Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim serta Fauziah Latiff, Ning Baizura dan Rahmad Mega.

Ujar Diva AA, skrip untuk menghasilkan filem berkenaan sudah lama disimpan, cuma ia masih belum dapat direalisasikan kerana mahu mencari pelabur yang hebat seperti TV3.

Jelasnya, skrip berkenaan telah dihasilkan sejak 20 tahun lalu dan dia mahu pelakon-pelakon generasi baharu yang hebat sebagai pelapis.

“Jangan ingat watak Lonyah tu Ogy sahaja patut bawa. Misalnya drama Diva Popular ini, saya tertarik apabila Erma Fatima memilih pelakon generasi baharu ini.

“Ia adalah satu idea yang cukup menarik dan boleh direalisasikan untuk karya saya nanti,” ujarnya. – KopiPlanet.com

The post Diva AA Berhasrat Mahu Hasilkan Filem Lontong The Movie, Skrip Sudah Siap Sejak 20 Tahun Lalu appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.