Ads Top

3 Bentuk Komunikasi Dalam Kehidupan Manusia

Sering kita dengar bahawa komunikasi merupakan kunci kepada segalanya. Jika ada permasalahan, cara utama untuk menyelesaikannya adalah dengan berkomunikasi.

Jika ingin meluahkan perasaan gembira atau bahagia, juga perlu dilakukan dengan mengamalkan komunikasi yang baik.

Kajian menunjukkan bahawa ia adalah salah satu ramuan utama dalam menyumbang kepada tingkah laku manusia yang juga melibatkan pertukaran fikiran, mesej atau maklumat.

Rasulullah SAW juga menyampaikan dakwah dalam bentuk komunikasi. Ia bukanlah bermaksud komunikasi itu perlu dilakukan dengan lemah lembut sahaja, namun berdasarkan situasi.

Ada yang bertutur dalam nada yang tegas bagi menegaskan lagi situasi yang berlaku dalam keadaan serius, ada juga yang bertutur dalam kadar lembut bagi memastikan anak-anak kecil mampu menyerap ucapan yang diberikan dengan baik.

Pendek kata, intonasinya adalah berdasarkan situasi dan juga kelompok manusia. Dalam Al-Quran sendiri ada disebutkan mengenai perihal komunikasi yang sangat penting kepada manusia.

Ada tiga elemen yang akan diilihat melalui entri kali ini, iaitu;

#1 – Komunikasi Sebagai Fitrah Manusia

Dalam sedar atau tidak, ia adalah fitrah manusia yang tidak dapat dielakkan. Setiap manusia yang lahir di muka bumi ini perlu berkomunikasi.

Bayi yang menangis, menunjukkan tanda-tanda lapar atau sakit. Itu adalah bentuk komunikasi seorang bayi.

Apabila sudah menginjak ke usia kanak-kanak, mereka sudah boleh berbicara dan tidak perlu menggunakan tangisan sebagai tanda komunikasi lagi.

Bahkan, manusia yang kurang upaya juga seperti bisu akan menggunakan bahasa isyarat sebagai bentuk komunikasi mereka.

Hal ini menunjukkan bahawa komunikasi itu penting dan fitrah kepada makhluk.

عَلَّمَهُ الْبَيَانَ

Mafhum: “Dialah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.” (Surah Ar-Rahman, 55:4)

#2 – Bertutur Dengan Perkataan Yang Benar

Jika ingin menjadikan pertuturan itu berkesan dan harmoni, ia perlu dilakukan dengan jujur dan elakkan daripada penipuan.

Jika komunikasi itu dilakukan dengan berlandaskan penipuan, pasti matlamat asal komunikasi tidak akan tercapai dan ia boleh mengundang masalah yang lebih besar terutama kepada si penerima.

Perkataan yang benar merupakan prinsip komunikasi yang terkandung dalam Al-Quran dan menjadi anjuran Allah SWT.

فَلْيَتَّقُوا اللَّـهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

Mafhum: “Oleh itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).” (Surah An-Nisa, 4:9)

#3 – Mengucap Perkataan Takwa

Perkataan takwa di sini bukan bermaksud perlu mengucapkan Al-Quran atau hadis sepanjang masa, namun perkataan yang keluar dari mulut kita adalah yang berfaedah dan boleh mendatangkan manfaat untuk diri sendiri juga orang yang mendengar.

Takwa ialah perbuatan di mana kita melakukan perkara yang baik dan disuruh Allah serta meninggalkan perkara yang dilarang.

Justeru, perkataan yang diucapkan mestilah yang boleh menambah takwa kita kepada Allah sama ada dari segi iman dan juga amal.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara).” (Surah Al-Ahzab, 33:70)

Kesimpulan

Komunikasi adalah salah satu perbuatan yang boleh menghubungkan sesama manusia dan juga hubungan antara manusia dengan Allah. Allah menjadikan manusia mampu berkomunikasi sebagai salah satu keunikan kepada kita.

Justeru, gunakanlah lisan dan komunikasi itu ke arah yang boleh mendekatkan diri dengan Allah.

Maksud: “Daripada Abu Musa Al-Asy’ari RA, beliau bertanya kepada Rasulullah – “Wahai Rasulullah, orang Islam yang bagaimanakah yang paling utama?” Baginda menjawab: “Orang yang selamat dari lisannya dan tangannya.” (HR Ibnu Taimiyyah, 28/266)

Rujukan:
Kajian Etika Komunikasi Dalam Al-Quran

The post 3 Bentuk Komunikasi Dalam Kehidupan Manusia first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.