Ads Top

Misi Bantu Ringankan Beban Kewangan, Mikrofon Impian Kembali Untuk Musim Kedua

Setelah mendapat sambutan yang menggalakkan pada musim terdahulu, rancangan Mikrofon Impian kembali lagi untuk musim yang kedua.

Merupakan sebuah program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian yang diadaptasi daripada program ‘game show’ nyanyian nombor 1 di Thailand, ia diterbitkan khusus untuk membantu para peserta yang memerlukan bantuan kewangan untuk melunaskan bebanan hutang.

Bagi menambah baik format asal, pelbagai pengisian elemen tempatan turut disuntik agar bersesuaian dengan budaya serta relevan untuk tontonan masyarakat di Malaysia.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, pihaknya cukup berbesar hati dengan reaksi dan sambutan positif yang diterima sewaktu program ini diperkenalkan buat pertama kali pada tahun lalu.

“Kembali serba baharu dengan kes dan situasi yang berbeza, musim kedua program Mikrofon Impian pastinya bakal menyentuh hati dan emosi masyarakat di luar sana. 

“Bagi menambah baik matlamat penerbitan program untuk edisi kali ini, kami turut bekerjasama dengan saluran pengumpulan dana sosial menerusi platform ‘KitaFund’ khusus untuk orang ramai yang ingin menyumbang secara ikhlas kepada para peserta menerusi saluran yang betul,” jelasnya.

Menurut Emarina, pihaknya juga menegaskan bahawa jumlah sumbangan bukanlah untuk dijadikan ukuran utama tetapi nilai ingatan kepada mereka yang memerlukan lebih diberikan perhatian sewajarnya.

“Semoga kes-kes yang ditonjolkan untuk musim ini dapat dijadikan sebagai sumber inspirasi, motivasi dan pemangkin semangat kepada kita semua untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik dan berkualiti, insya-Allah,” jelasnya.

Kembali serba baharu dengan misi yang berbeza untuk musim kedua, edisi kali ini juga turut membuka penyertaan kepada orang ramai yang ingin membantu golongan yang kurang bernasib baik dengan menyumbang suara mereka bagi mewakili pihak individu yang ingin dibantu.

Peruntukan bantuan kewangan yang diberikan untuk musim ini bukan sekadar memfokuskan untuk membantu melangsaikan bebanan hutang, malah merangkumi pelbagai masalah kewangan yang lain seperti bagi membiayai kos rawatan perubatan, dijadikan sebagai modal perniagaan, menampung kos harian akibat kehilangan pekerjaan, meneruskan kelangsungan hidup yang terjejas akibat krisis Covid-19 dan sebagainya.

Hadiah wang tunai yang ditawarkan pula adalah mengikut jumlah keperluan bantuan kewangan yang diminta berdasarkan situasi masing-masing.

Tiga peserta akan berentap dalam pusingan kalah mati untuk setiap episod. Mereka akan diminta untuk menjelaskan situasi kewangan yang dihadapi sebelum menyanyikan lagu pilihan masing-masing di hadapan juri. Peserta yang berjaya memikat hati juri akan mara ke pusingan akhir untuk menentukan jumlah wang tunai yang bakal dimenangi.

Dalam pusingan akhir, peserta akan diajukan soalan lazim berkenaan industri hiburan. Untuk menjawab soalan tersebut, peserta harus memilih salah satu mikrofon yang telah ditanda dengan nombor di hadapan dan menyanyi mengikut pilihan jawapan yang telah dipilih.

Jika mikrofon yang dipilih berbunyi, ia menandakan jawapan yang dipilih adalah tepat. Jika gagal, peserta hanya berjaya membawa pulang separuh daripada jumlah bantuan kewangan yang diminta.

Program Mikrofon Impian Musim Kedua akan berdurasi selama 60 minit sepanjang 13 buah episod pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam bermula 27 Disember 2020 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123). 

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ia turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan ‘on demand’. – KopiPlanet.com

The post Misi Bantu Ringankan Beban Kewangan, Mikrofon Impian Kembali Untuk Musim Kedua appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.