Ads Top

Hiduplah Di Dunia Sebagai Perantau

Kita semua menyedari hakikat kehidupan di dunia ini hanya sementara. Bila-bila masa sahaja nyawa kita boleh berakhir. Bahkan, tempoh dan jangka hayat dunia juga akan berakhir.

Disebabkan itu, kita sentiasa diperingatkan untuk bersedia dengan kematian agar amalan mencukupi untuk dijadikan bekalan di alam akhirat kelak.

Oleh itu, hiduplah seadanya dan jangan jatuh ke dalam helah serta tipu daya dunia. Kehidupan ini adalah persinggahan untuk kita menimba sesuatu dan bukannya tempat yang abadi.

Ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan dari Ibnu Umar RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW pernah memegang bahuku kemudian berkata:

كن في الدنيا كأنك غريب، أو عابر سبيل وكان ابن عمر – رضي الله عنهما – يقول: إذا أمسيت فلا تنتظر الصباح، وإذا أصبحت فلا تنتظر المساء، وخذ من صحتك لمرضك، ومن حياتك لموتك

Maksud: “Hiduplah engkau di dunia ini seolah-olah engkau seorang perantau atau musafir.”

Ibnu Umar juga pernah berkata: “Apabila engkau berada pada waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang. Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk masa matimu.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6416)

Maksud Hadis

Yang dimaksudkan dengan hadis di atas adalah manusia sepatutnya sentiasa beringat bahawa dunia ini hanyalah sebuah tempat persinggahan.

Saya beri anda sebuah contoh situasi; jika anda pergi bercuti sejenak di Pulau Perhentian, apa yang anda akan bawa? Pasti, hanya bekalan yang cukup untuk tempoh percutian itu, bukan?

Tidak perlu membawa peralatan dengan banyak sehingga tiga bagasi. Jika percutian itu singkat, sebuah beg sahaja sudah memadai.

Kerana, anda akan pulang semula ke tempat asal apabila percutian itu tamat. Kuncinya di sini ialah, anda pasti pulang semula.

Begitu juga dengan manusia. Kehidupan ini hanya sekadar perantau. Suatu masa nanti anda pasti akan pulang.

Perkara kedua yang boleh dilihat adalah, peraturan dan undang-undang yang perlu dipenuhi.

Kita melihat kembali pada contoh yang dibawakan tadi; apabila anda bercuti, pastinya ada peraturan yang perlu dipatuhi. Tidak boleh sewenang-wenangnya melanggar undang-undang yang telah disediakan.

Begitulah kehidupan di dunia ini yang dipenuhi dengan peraturan dan undang-undang sama ada yang telah dietetapkan oleh Allah mahupun dicipta manusia.

Ia diwujudkan bukan untuk menyusahkan, tetapi untuk membendung diri manusia ke arah yang lebih baik agar dapat mewujudkan keharmonian kepada sekeliling.

Kesimpulan

Sebagai perantau, hiduplah dengan baik dan sentiasa beringat bahawa kehidupan kita adalah sementara.

Perjalanan hidup kita akan sentiasa bergerak sehingga terhenti di sebuah tempat yang dituju, iaitu syurga atau neraka.

إِنَّمَا يَكْفِي أَحَدَكُمْمِنَ الدُّنْيَا كَزَادِ الرَّاكِبِ

Maksud: “Sesungguhnya cukup bagi kalian di dunia ini seperti bekal orang yang dalam perjalanan.” (Hadis Riwayat Abu Ya’la, no. 7214)

The post Hiduplah Di Dunia Sebagai Perantau first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.