Ads Top

Hampir Setahun Tertunda, Balkisyh Semundur Khan Akhirnya Bergelar Isteri

Selepas hampir setahun tertunda hasrat bernikah buat kali kedua, akhirnya pelakon Balkisyh Semundur Khan, selamat berkahwin dengan pilihan hatinya, Mohd Nazri Zakaria petang tadi.

Pasangan berkenaan bernikah di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan menggunakan wali hakim kira kira jam 2.30 petang tadi dan disaksikan sekitar 20 orang tetamu 

Kemudian pasangan itu diraikan di sebuah premis makanan popular di ibu kota bermula pukul 5.00 petang tadi dengan dihadiri sekitar 50 orang tetamu.

“Alhamdulillah akhirnya segala kesukaran saya untuk mencari bapa kandung (Semundur Khan Gulam Khan) sendiri sebagai wali diselesaikan dengan bantuan JAWI. Pada mulanya saya berdepan kesukaran menjejak lokasi sebenar bapa kandung untuk jadi wali. 

“Namun selepas masalah ini mendapat liputan media, segala galanya dipermudahkan. Saya akhirnya sah bergelar isteri sekali lagi,” katanya

Sebelum ini, kisah pelakon berkenaan berdepan kesukaran mencari bapanya untuk menjadi wali telah mendapat perhatian ramai.

“Saya berusaha mencari bapa termasuk membuat semakan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen, tetapi gagal.

“Kemudian saya buat carian di JPN membabitkan rekod kematian dan alamat terakhir. Selepas dua minggu saya diberitahu ayah masih hidup sebab tidak ada rekod kematian dan alamat terakhirnya di Tawau, Sabah. 

“Malangnya, rumah itu sudah dijual sejak lima tahun lalu. Dalam semakan Jabatan Imigresen pun ayah tiada rekod keluar masuk negara sejak empat tahun lalu. 

“Pihak JAWI akhirnya meminta saya menghantar permohonan untuk menggunakan wali hakim,” katanya yang pernah lapan kali turun naik pejabat agama namun permohonan tetap ditolak.

Pelakon yang terkenal menerusi drama Mak Cun di TV3 itu mengenali suaminya yang juga seorang pekerja barisan hadapan sekitar tiga tahun lalu.

“Dia duda tak ada anak serta menjadi lelaki yang boleh menerima masalah dan pahit getir hidup ini. Apa yang lebih penting, dia dapat menerima dan serasi dengan dua anak saya.

“Dialah yang selama perkenalan begitu tabah dan melalui kesukaran dilalui bersama. Kebaikan dan peribadi dimilikinya juga mengatasi segala galanya,” katanya.

Balkisyh pernah berkahwin dengan Mohd Aizad Rosli pada 2007 dan bercerai pada 5 September 2017.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak iaitu Nur Qalesya, 9, dan Muhamad Nor Qaisyh Khan, 4. – KopiPlanet.com

The post Hampir Setahun Tertunda, Balkisyh Semundur Khan Akhirnya Bergelar Isteri appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.