Bagaimana Melupuskan Al-Quran Yang Rosak Akibat Banjir
Musim tengkujuh kembali melanda negara kita sehingga menjejaskan kepada aktiviti harian dan juga pencarian mata rezeki.
Ada juga beberapa negara yang telah dilanda banjir akibat hujan lebat yang turun tanpa henti beberapa hari sehingga mengakibatkan sistem saluran tersumbat dan sebagainya.
Apabila berlakunya banjir, pasti banyak barang dan kelengkapan yang terjejas seperti buku-buku serta pakaian.
Jika perkara tersebut terjejas, memadai untuk dibuang sekiranya sudah tidak dapat digunakan semula.
Namun, bagaimana pula jika Al-Quran yang terjejas kerana banjir? Umum mengetahui bahawa kemuliaan Al-Quran hendaklah dijaga dengan baik sehinggakan abunya juga turut perlu dibuang di kawasan yang tidak menimbulkan fitnah (seperti laluan orang) bagi menjaga kesuciannya.
Jadi, bagaimana melupuskan Al-Quran yang telah rosak akibat banjir? Dalam hal ini, ulama mempunyai dua pendapat, iaitu;
#1 – Ditanam
Pendapat pertama daripada Mazhab Hanafi dan Hanbali menyebut bahawa ia perlu ditanam di kawasan yang tidak menjadi laluan orang agar tidak dipijak.
“Jika sekiranya mushaf telah basah atau lupus, hendaklah ditanamnya secara nas. Imam Ahmad menyebut bahawa Abu al-Jawza’ telah basah mushafnya lalu digali lubang pada masjidnya dan ditanam.” (Imam Al-Buhuti, Kasyaf al-Qina’ 1/137)
#2 – Dibakar
Manakala, pendapat daripada Mazhab Maliki dan Syafi’e menyebut bahawa hendaklah ditanam mushaf yang rosak akibat banjir.
Ia adalah bertepatan dengan tindakan Saidina Uthman yang telah memerintahkan agar mushaf yang wujud dengan pelbagai versi pada zamannya ditanam dan hanya boleh menggunakan resam Usmani sahaja.
Imam Al-Suyuthi berkata – “Apabila perlu kepada melupuskan sebahagian kertas mushaf dengan sebab basah atau rosak, maka tidak harus diletakkannya pada mana-mana tempat sekali pun yang tinggi kerana boleh jadi ia akan jatuh dan dipijak. Begitu juga tidak boleh mengoyakkannya kerana ia diibaratkan sebagai perbuatan memisahkan huruf-huruf dan kalam tersebut. Justeru, kalau dibakarnya dengan api, maka ia adalah tidak mengapa kerana melihat kepada perbuatan Saidina Uthman.” (Al-Itqan fi Ulum Al-Quran, 2/1187)
Kesimpulan
Mufti Wilayah Persekutuan menyebut bahawa, pendapat daripada Mazhab Syafi’e, iaitu membakar Al-Quran yang rosak akibat banjir adalah lebih utama dilakukan.
Hal ini adalah bertepatan dengan perbuatan Saidina Uthman dan ia tidak diingkari sahabat-sahabat waktu itu.
Seterusnya, debu Al-Quran tersebut pula hendaklah ditanam di kawasan yang khusus bagi menjaga kemuliannya. Ia juga adalah bertepatan dengan pendapat pertama daripada Mazhab Hanafi dan Hanbali.
Adapun, kini pelupusan Al-Quran menjadi lebih mudah kerana banyak tempat yang menyediakannya. Jadi, jika anda risau untuk melakukannya sendiri, boleh sahaja membawanya ke mana-mana perusahaan yang dipercayai bagi tujuan pelupusan.
Wallahu a’alam
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
The post Bagaimana Melupuskan Al-Quran Yang Rosak Akibat Banjir first appeared on Tazkirah.
No comments: