Ads Top

Adakah Bersiwak Dan Menggosok Gigi Sama?

Mulut dijadikan oleh Allah sebagai penghubung kepada kesihatan rohani dan jasmani. Kesihatan jasmani ialah apabila mulut merupakan alat untuk memasukkan makanan dan membekalkan tenaga kepada diri sendiri.

Jika baik dan sihat makanan yang dimakan, maka ia boleh membantu memberi kesihatan kepada tubuh badan.

Manakala, untuk kesihatan rohani pula ialah apabila ujaran dan kata-kata yang dituturkan oleh mulut kita boleh memberi kesihatan kepada hati dan iman sendiri.

Mudah sahaja untuk menjaga kesihatan rohani kerana Islam telah memberi aturan dan langkah yang ringkas, tinggal kita sahaja mengikutinya. Sebagai contoh, kita boleh berzikir bagi mengingati Allah, beristighfar ketika melakukan kesilapan dan membaca Al-Quran bagi menjemput ketenangan hati.

Namun, untuk menjaga kesihatan jasmani, ia perlu dilakukan dengan teliti. Antara langkah yang ada ialah memberus gigi kerana setiap makanan yang masuk ke dalam mulut kita akan meninggalkan sisa dan plak pada permukaan gigi.

Justeru, dengan memberusnya, akan membantu menyapu fluorida kepada bahagian gigi. Sebagaimana dalam sebuah hadis nabi yang menyebut:

Maksud: “Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang.” (HR Bukhari, no. 887)

Namun, dalil yang disebut adalah berkenaan dengan siwak. Adakah ia sama dengan perbuatan menggosok gigi?

Apa Itu Siwak

Ulama menyebut bahawa siwak adalah perbuatan menggosok dengan menggunakan alatnya seperti kayu atau seumpamanya dengan disusuli niat kerana Allah SWT. (Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 1/270)

Hukum bersiwak adalah sunat setiap kali sebelum solat fardu sebagaimana berdasarkan hadis yang dibawakan di atas.

Manfaatnya adalah untuk memastikan gigi dan mulut dalam keadaan bersih setiap kali menghadap Allah SWT.

Sebagaimana dalam riwayat daripada ‘Aisyah RA, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Siwak itu menyucikan mulut dan mendatangkan keredaan Rabb.” (HR Nasa’i, no. 4)

Jika diamati, ia adalah sama dengan perbuatan menggosok gigi, iaitu membersihkan mulut daripada kotoran.

Perbezaannya hanya pada alat yang digunakan, iaitu siwak khusus menggunakan kayu siwak, manakala menggosok gigi tidaklah menggunakan kayu siwak.

Namun, pendapat ini adalah menurut Imam Hanafi dan Hanbali. Dalam Mazhab Syafi’e dan Maliki, siwak adalah sama dengan menggosok gigi kerana kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menyebut – “Bersiwak dilakukan untuk tujuan memperindah, menyucikan dan membersihkan mulut.” (Syarah Umdah al-Fiqh, 1/203)

Kesimpulan

Justeru, melihat kepada pandangan dari mazhab Syafi’e, fungsi menggosok gigi dan bersiwak adalah sama.

Jika anda menggosok gigi dengan menggunakan alatan yang kesat seperti kayu dan berus gigi dan disertai dengan niat, maka anda telah dikira mengikut tuntutan yang sama dengan bersiwak.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Adakah Bersiwak Dan Menggosok Gigi Sama? first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.