Menunaikan Solat Di Atas Kerusi – Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu
Salah satu rukun solat adalah berdiri dengan betul dan menghadap kiblat bagi mereka yang mampu. Apabila wujudnya kekangan seperti sakit atau perkara yang tidak membolehkan berdiri, maka diberi keringanan ke atas mereka untuk menunaikan solat dalam keadan yang mampu.
Jika tidak mampu berdiri, maka duduklah. Dan jika tidak mampu duduk, boleh sahaja untuk menunaikan solat dalam keadaan berbaring. Keringanan ini diberikan berdasarkan kemampuan masing-masing dan ia ada disebut dalam beberapa hadis sahih seperti:
Maksud: “Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung. (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1117)
Imam Al-Syaukani RA menyebut bahawa ia adalah keharusan yang diberikan ke atas sesiapa yang mempunyai keuzuran.
Jadi, entri kali ini akan memperlihatkan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian ke atas mereka yang menunaikan solat secara duduk.
#1 – Situasi Yang Dibolehkan
Perlu diingat bahawa solat secara duduk tidak boleh dilakukan tanpa alasan yang munasabah kerana rukun utama solat adalah berdiri.
Keringanan diberikan jika wujudnya situasi-situasi seperti tidak mampu berdiri atau mempunyai penyakit yang boleh menjejaskan dirinya jika melakukan aktiviti secara berdiri.
Keringanan juga diberikan kepada mereka yang sedang berada di dalam kenderaan seperti kapal terbang atau kereta api serta di atas kapal atau perahu yang tidak membolehkannya berdiri semasa solat.
Sebagaimana yang disebut oleh Imam Al-Ramli – “Dibolehkan untuk seseorang itu solat secara duduk apabila terdapatnya kepayahan yang boleh menghilangkan kekhusyukan dalam solat.”
#2 – Cara Solat Secara Duduk
Ada beberapa tatacara yang perlu diambil perhatian, iaitu:
a – Jika ia mampu untuk berdiri, maka hendaklah dia berdiri terlebih dahulu. Kemudian, apabila tibanya rukuk dan sujud, barulah seseorang itu perlu duduk.
Tidak sah jika solat dilakukan dengan keadaan duduk terus sekiranya orang itu mampu berdiri.
Jika tidak mampu berdiri ketika takbiratul ihram, maka boleh melakukannya dalam keadaan duduk.
Maksud: “Sekiranya seseorang itu mampu untuk rukuk secara sempurna, maka wajib ke atasnya untuk (rukuk) tinggi pada had orang-orang yang rukuk. Benar, sekiranya dia tidak mampu juga, maka dia rukuk dalam keadaan duduk. Had yang paling kurang ialah dia turun sehingga bertentangan mukanya pada permukaan bumi yang berada di hadapan dua lututnya dalam keadaan boleh dimaksudkan dengan sekurang-kurang pertentangan.” (Kifayah al-Nabih, 4/97)
b – Perlu didahulukan untuk menunaikan solat di atas lantai. Namun, jika tidak mampu seperti masalah kaki yang lemah jika duduk, maka dibolehkan untuk menunaikan solat di atas kerusi.
c – Perlu menunaikan rukuk seperti biasa sekiranya mampu berdiri tetapi jika tidak mampu, boleh rukuk secara duduk di atas kerusi.
d – Jika rukuk secara duduk, maka had minimun untuk rukuk adalah menundukkan kepala sehingga dahinya setentang dengan kawasan di hadapan lututnya.
Namun, had paling sempurna adalah apabila dahinya setentang atau berhampiran dengan tempat sujudnya.
e – Sujud pula perlu dilakukan dengan kedudukan lebih rendah (tunduknya) berbanding rukuk.
f – Sekiranya tidak mampu melakukan dengan gerakan badan, maka kepalanya perlu digerakkan sebagai isyarat rukuk dan sujud (kadar kepala yang lebih rendah untuk membezakan dengan rukuk).
Syeikh Al-Ramli berkata – “Sekiranya dia tidak mampu, maka dia menundukkan kepalanya dan sujud itu lebih rendah (tunduknya) berbanding rukuk.” (Nihayah al-Muhtaj, 1/469-470)
#3 – Bersandar Ketika Solat
Bolehkah bersandar ketika solat di atas kerusi? Menurut pendapat Imam Syafi’e, hukum perbuatan ini adalah makruh sekiranya tiada keuzuran yang membenarkan.
Ertinya, jika kesihatannya masih baik dan boleh sahaja duduk dalam keadaan tidak bersandar, maka lebih elok untuk tidak bersandar. Adapun, solatnya tetap sah jika bersandar ketika solat.
Namun, jika tidak mampu atau wujud keuzuran seperti warga emas yang memerlukan tempat bergantung ketika solat, maka boleh sahaja.
Kesimpulan
Bentuk keringanan ini diberikan ke atas mereka yang wujud permasalahan untuk menunaikan solat. Solat itu adalah suatu bentuk kewajipan yang tidak boleh diambil alih oleh orang lain.
Jadi, tunaikanlah solat selagi mampu dengan cara yang telah ditunjukkan.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
The post Menunaikan Solat Di Atas Kerusi - Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu first appeared on Tazkirah.
No comments: