Ads Top

Bencilah Pada Perbuatan, Bukan Pada Pelakunya

“Cinta itu buta” – Mungkin anda kerap kali mendengar ungkapan ini sama ada anda pernah bercinta, sedang dilamun cinta mahupun yang tidak pernah terjebak dengannya.

Kata-kata azimat di atas menunjukkan bahawa apabila seseorang dilamun cinta, pastinya matanya dibutakan dengan perkara-perkara yang indah sahaja.

Perbuatan yang buruk juga akan dianggap baik sedangkan sebelum ini seseorang itu mungkin pernah membantah perkara tersebut terang-terangan.

Sebab itu, jika kita lihat anjuran Islam mengenai cara yang betul untuk mencintai saudaranya ialah dengan sama-sama mengajak ke arah kebaikan dan juga mencegah ke arah kemungkaran.

Saya bawa contoh perumpamaan anda dan kawan baik; jika ada apa-apa permasalahan yang berlaku, pasti anda akan berusaha sebaiknya untuk memberi bantuan atau penyelesaian kepadanya.

Dan jika ada kesalahan dari mana-mana pihak, pasti salah seorang dari kalian akan berusaha menegur agar kesalahan itu tidak akan tersasar jauh.

Inilah yang dinamakan cinta yang sebenarnya. Sama ada kepada sahabat anda sendiri, ahli keluarga mahupun pasangan yang halal buat anda.

Dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan daripada Abu Dzar, Baginda SAW bersabda:

إِنَّ أَحَبَّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ الْحُبُّ فِى اللَّهِ وَالْبُغْضُ فِى اللَّهِ

Maksud: “Sesungguhnya amalan yang lebih dicintai Allah adalah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah.” (Hadis Riwayat Ahmad, 5:146)

Apabila sahabat anda melakukan keburukan, kebencian itu perlu diletakkan pada perbuatannya dan bukan pada orangnya.

Dengan inilah yang akan membantu untuk memandu perbuatan anda ke arah yang betul, iaitu menegur kesalahan tersebut dan bukannya turut melakukannya atau menyebarkan aib.

Mafhum: “Pada hari itu, sahabat-sahabat karib: Setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh).” (Surah Az-Zukhruf, 43:67)

Justeru, jangan jadikan cinta itu membutakan anda. Jika benar-benar cinta, maka masing-masing perlu memainkan peranan untuk mengarah ke arah kebaikan.

The post Bencilah Pada Perbuatan, Bukan Pada Pelakunya first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.