#61 – 5 Kaedah Didikan Anak-Anak Yang Boleh Diterapkan
Setiap pasangan yang dikurniakan cahaya mata pasti ingin memberi didikan yang terbaik buat anak-anak mereka. Mana tidaknya, didikan paling awal adalah bermula di rumah, iaitu di tangan ibu bapa sendiri.
Mereka adalah insan pertama yang akan mencorak dan membentuk generasi baru itu. Jika baik didikannya, maka peratus untuk anak-anak membesar menjadi insan yang berwibawa adalah tinggi. Jika tidak, maka begitulah juga sebaliknya.
Jadi, entri kali ini akan membawakan kepada anda semua yang bergelar ibu bapa mahupun yang bakal menjadi orang tua untuk melihat lima kaedah yang boleh diamalkan dalam usaha memberikan didikan terbaik buat anak-anak anda.
#1 – Melalui Contoh Teladan
Menunjukkan peribadi yang baik dan akhlak yang terpuji di hadapan mereka adalah salah satu perkara yang boleh diterapkan.
Anak-anak lebih mudah belajar melalui apa yang mereka lihat. Otak mereka lebih mudah menyerap perkara yang berbentuk praktikal. Justeru, apa yang anda lontarkan melalui lisan mestilah selari dengan perbuatan anda.
#2 – Melalui Adat Kebiasaan
Biar mati anak, jangan mati adat. Pasti anda pernah mendengar peribahasa ini, bukan? Ia bermaksud adat istiadat lama masih perlu diamalkan oleh kita pada hari ini.
Namun, itu bukanlah bermaksud untuk mengikut seratus peratus adat yang ada. Anda boleh memilih mana yang terbaik dan sesuai dengan situasi kita hari ini agar adat tersebut masih boleh dikekalkan dan diamalkan dengan baik.
#3 – Melalui Nasihat Dan Bimbingan
Kaedah ketiga yang boleh diterapkan adalah melalui teguran dan ajaran buat mereka.
Jangan menganggap mereka akan mengetahui semua perkara tanpa diberi tunjuk ajar terlebih dahulu. Sebelum menegur, ajar dulu perkara yang dibenarkan mahupun yang dilarang.
#4 – Melalui Pemerhatian Dan Pengawasan
Tingkah laku anak-anak tidak boleh dibiarkan sewenang-wenangnya. Mungkin di rumah peribadi mereka berbeza kerana ada kita yang menjaga. Namun, siapa tahu pengaruh luar seperti rakan sebaya boleh menukarkan mereka menjadi insan yang berbeza.
Disebabkan itu, orang tua perlu sentiasa memainkan peranan dengan mengawasi tindak-tanduk mereka agar kaedah ketiga boleh diterapkan jika berlakunya sesuatu. Bukankah lebih baik mencegah daripada mengubati?
#5- Melalui Denda Dan Hukuman
Tahukah anda, hukuman juga merupakan salah satu proses untuk mendidik anak-anak? Ia bukanlah sebagai tanda amarah mahupun kebencian sebaliknya bukti kasih sayang seseorang kepadanya.
Bahkan, ia adalah sebagai penawar yang mujarab untuk permasalahan yang terjadi agar pisang tidak berbuah dua kali.
Jika teguran, nasihat mahupun ajaran sudah diberikan, namun tetap terjadi perkara yang tidak diingini, maka ibu bapa boleh memberikan hukuman yang setimpal di atas perbuatannya.
Namun, perlu diingat bahawa hukuman itu bukanlah yang merosakkannya, tetapi sebagai bentuk kasih sayang buatnya.
Kesimpulan
Kaedah-kaedah ini boleh digunakan dalam usaha kita mendidik generasi baru agar mereka boleh membesar menjadi manusia yang berwibawa dan mempunyai jati diri yang kukuh.
Anak-anak adalah tonggak kepada ketamadunan dan kemajuan negara. Justeru, sebagai pendidik pertama mereka, berilah didikan yang terbaik buat mereka.
#Menuju2021
#PE1H
Rujukan:
Kajian – Pendidikan Anak-Anak Menurut Abdullah Nasih Ulwan (2019)
The post #61 - 5 Kaedah Didikan Anak-Anak Yang Boleh Diterapkan first appeared on Tazkirah.
No comments: