#50 – Tips Berjaya Adalah Sayangi Diri Sendiri
“Siapa yang kau sayang?”
Saya mulakan entri kali ini dengan sebuah persoalan yang bagi saya amat penting untuk kita jawab.
Pada asasnya, hanya anda yang tahu jawapan kepada soalan tersebut, namun adakah diri sendiri termasuk dalam senarai orang yang anda sayang?
Sekiranya jawapan yang diberikan adalah tidak, mungkin kita terlupa atau mungkin juga kita sebenarnya lebih memikirkan tentang orang lain.
Walhal, seharusnya diri kita sendiri sepatutnya perlu berada dalam carta hati. Sebelum kita mula menyayangi orang lain, diri sendiri mesti disayangi terlebih dahulu.
Menyayangi diri sendiri amat penting walaupun ia kedengaran seperti mementingkan diri, namun konsep ini tidak salah. Diri kita merupakan amanah Allah SWT. Maka, kita perlu menjaganya dengan sebaik mungkin.
Pencipta kita telah menjadikan wajah, tubuh dan menciptakan sebuah keindahan yang sukar ditiru, iaitu diri kita sendiri. Terimalah ia dengan hati yang terbuka walau siapa pun kita di muka bumi ini.
Menerima diri sendiri adalah perkara yang sangat dituntut dalam kehidupan dan ia adalah perkara asas dalam berkasih sayang. Bagaimana sesebuah perhubungan itu boleh kekal sekiranya kita tidak mampu menerima baik buruknya?
Nah, inilah yang perlu difahami. Sifat syukur dengan apa yang ada perlu diterapkan tapa mengira rupa paras, siapa keluarganya keluarga, sahabatnya, atau di mana tempat tinggalnya kerana ia adalah anugerah serta kurniaan tuhan.
Jadi, bersyukurlah dengan segala nikmat yang kita peroleh. Usah terlalu membandingkan diri kita dengan orang-orang lain. Setiap orang telah ditentukan laluan hidup serta rezeki mereka.
Kita juga bakal mencapai impian dan kejayaan di waktu yang tepat. Setiap orang ada rezeki masing-masing yang telah ditetapkan. Hanya perlu usaha yang jitu, maka perlahan-lahan masa akan datang untuk memberi jawapan kepada kita kelak.
Kebolehan Dan Kekurangan Akan Mudah Dikesan
kita akan lebih mudah mencapai apa yang diingini dalam hidup sekiranya sayang akan diri sendiri. Dengannya, kebolehan dan kekurangan diri akan mudah dikesan dan dikenali sekali gus memudahkan kita untuk melakukan sesuatu atau mencuba perkara baru.
Bakat dan perwatakan yang ada dalam diri setiap insan adalah berlainan. Kita tidak boleh melihat diri kita melalui insan lain; kita hanya boleh bertanya, namun yang benar-benar memahami diri kita hanyalah diri sendiri. Oleh itu, cuba kaji dan fikir kembali mengenai diri anda.
Jika diamati penciptaan diri kita di dunia ini, masing-masing daripada kita adalah unik. Kita saling memerlukan antara satu sama lain.
Disebabkan itulah kita berbeza dengan orang lain dari segi bakat dan pelbagai lagi. Kata orang, manusia ini pelbagai ragam. Hanya kita yang tidak sedar. Ataupun mungkin terkabur pandangan disebabkan terlalu memandang keistimewaan pada diri orang lain.
Hidup kita ini bertujuan. Kita mesti memiliki matlamat dan impian untuk dicapai. Walaupun terkadang timbul persoalan atau perasaan – ‘untuk apa aku dilahirkan di bumi walau tidak diminta.’
Namun, tetaplah berjuang kerana kita merupakan insan yang terpilih. Oleh itu, pastikan anda tahu apa yang ingin dicapai dalam hidup. Dengan mengetahui tentang matlamat hidup, kita dapat mengambil langkah untuk mencapai impian tersebut.
Contohnya, jika dari kecil kita memasang impian untuk membantu orang yang susah, pasti suatu hari nanti kita akan memastikan perkara itu berlaku. Pastikan setiap angan-angan yang diimpikan menjadi kenyataan.
Perkataan dan pemikiran turut memberikan impak terbesar kepada kehidupan. Ungkapan yang kita sebutkan pada hari ini berkemungkinan menjadi kenyataan.
Justeru, kita perlu melabel diri sendiri dengan kata-kata yang baik dan positif. Jika setiap hari kita menyebut tentang apa yang kita mahukan, sudah tentu kita akan bersemangat.
Pada waktu yang sama, berbicaralah perkara yang baik tentang diri sendiri kerana ia adalah perkara yang amat mudah untuk dilakukan. Walaupun kita tahu diri kita mempunyai kekurangan, namun tetaplah berusaha untuk memuji diri sendiri.
Ia diumpamakan kita sedang jatuh cinta kepada seseorang, pasti kita akan memuji dan bercakap yang elok-elok tentangnya, bukan? Jadi, mari praktikkan perkara ini dalam hidup kita.
Minda kita juga sebenarnya akan bergerak menuju ke arah apa yang kita fikirkan tentang diri kita. Ia adalah sebagai salah satu pemangkin semangat untuk mencapai sesutatu. Sekiranya hal yang baik kita fikirkan, maka baiklah perkara itu.
Kalau kita sentiasa merasakan diri kita adalah sebuah kegagalan, maka selamanya kita akan rasa diri ini tidak layak untuk berjaya. Orang yang berjaya tidak akan pernah berhenti meskipun pelbagai masalah terjadi atau bermacam-macam kesilapan yang dilakukan kerana mereka menjadikan ia sebagai pengalaman kehidupan.
Lumrah kehidupan, tiada jalan yang mudah untuk berjaya. Oleh itu, bangkitkan semangat sendiri seandainya sayang kepada diri. Setiap kejayaan bermulanya daripada diri kita sendiri.
Kesimpulan
Sebenarnya menyayangi diri sendiri mungkin kelihatan sukar tetapi itulah perkara yang bakal membawa kita ke tahap yang lebih baik. Hiasilah diri kita dengan pelbagai warna kehidupan terutamanya dengan menerapkan rasa gembira. Hal ini boleh dilakukan dengan menghiburkan diri sendiri serta menerima apa yang berlaku.
Dalam pada itu, masa untuk diri sendiri sangat diperlukan dalam hidup. Setiap orang pasti merasai kepenatan ataupun mempunyai momen di mana perasaan harus diseimbangkan. Demi memujuk diri, berilah ruang kepada diri sendiri untuk berehat. Manusia bukan robot. Kita memiliki hati dan juga emosi yang perlu dijaga.
Dengan ruang dan waktu yang dihadiahkan kepada diri sendiri, ketenangan dan semangat tentu akan muncul. Sesetengah orang memilih untuk tidur, membaca buku dan menikmati alam. Ia terpulang kepada diri masing-masing bagi menggunakan waktu tersebut dengan cara yang digemari kerana hanya kita yang tahu apa yang terbaik untuk diri sendiri.
Sebagai penutup, hayatilah coretan ini;
Tidak akan kausakiti dia
Perit berlumuran luka-luka
Bersama-sama dosa
Hanyut dalam arus dunia.
Saat nafas cinta kau hirup
Biarlah ia mengalir dalam pena
Menjadikan kau seorang pencinta
Sayang,
Ungkapan untuk diri tercinta buat selamanya.
The post #50 - Tips Berjaya Adalah Sayangi Diri Sendiri first appeared on Tazkirah.
No comments: