(Video) Anggaran RM2.5 Juta Dirampas Polis Di Sebuah Rumah Mewah Di Cheras
KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) — Polis menumpaskan sindiket yang disyaki terbabit dengan aktiviti mempromosi pelacuran, penipuan dan urus niaga mata wang krypto untuk pasaran di China, dalam serbuan di Cheras di sini, malam tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata hasil serbuan tersebut, pihaknya merampas wang tunai kira-kira RM2.5 juta di dalam beberapa beg pakaian di sebuah kediaman mewah di Jalan Desa Bukit Tiara, Cheras.
Beliau berkata lapan individu terdiri daripada enam warga China serta dua rakyat tempatan berumur antara 22 hingga 48 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.
“Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu menemukan wang tunai berjumlah kira-kira RM2.5 juta yang diletakkan di dalam beg pakaian di beberapa bilik. Komputer riba, telefon bimbit dan sejumlah dadah sintetik turut dirampas,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di Cheras, malam tadi.
Huzir berkata serbuan itu dibuat susulan operasi awal sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman di sebuah kondominium di Kajang, Selangor kira-kira 2 petang semalam.
Menurutnya, dalam serbuan itu tujuh lelaki dan seorang wanita warga China berusia 21 hingga 28 tahun ditahan, dan komputer riba, telefon bimbit serta kertas catatan jadual harian sindiket turut dirampas.
Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap komputer riba itu mendapati sindiket tersebut dipercayai melakukan aktiviti mempromosi kegiatan pelacuran dan penipuan untuk pasaran di China, dan terdapat aplikasi yang menjurus kepada urus niaga mata wang krypto.
Mata wang krypto ialah sejenis sistem pembayaran secara digital.
”Hasil penemuan ini, kami percaya sindiket ini menjalankan kegiatan haram bagi pasaran China dan mempromosi aktiviti mereka secara dalam talian serta ada unsur tipu dan membabitkan pusat panggilan yang lain.
”Wang tunai yang dijumpai itu dipercayai hasil aktiviti salah (haram) atau pengubahan wang haram kerana wang sebanyak itu tidak disimpan di bank seperti kebiasaannya,” kata beliau.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai beroperasi sejak dua bulan lepas, dan warga tempatan yang ditahan itu berperanan untuk mencari rumah sebagai pusat operasi kumpulan terbabit.
Anggaran RM2.5 juta yang dirampas dalam sebuah rumah mewah di Cheras, disyaki milik sindiket yang terbabit dengan aktiviti pelacuran, penipuan dan pengubahan wang haram – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pic.twitter.com/BVDXow6NWK
— BERNAMA (@bernamadotcom) October 17, 2020
— BERNAMA
The post (Video) Anggaran RM2.5 Juta Dirampas Polis Di Sebuah Rumah Mewah Di Cheras appeared first on Siakap Keli.
No comments: