Ads Top

Pekerja Kilang Rugi RM23,836 Ditipu Sindiket Pelaburan

KEPALA BATAS, 17 Okt (Bernama) — Seorang pekerja kilang mengalami kerugian RM23,836 selepas wanita itu ditipu sindiket pelaburan tidak wujud yang menawarkan pulangan lumayan dengan hanya modal rendah, sejak awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara(SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita berusia 26 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan di aplikasi Instagram yang menawarkan pulangan wang yang tinggi dalam tempoh 48 jam dengan hanya bermodalkan RM500.

“Seorang individu yang mendakwa sebagai ejen syarikat pelaburan itu kemudiannya menghubungi mangsa selepas dia meninggalkan komen berminat dengan pelaburan tersebut sebelum ditawarkan sebanyak  20 ganda dalam tempoh dua hari melabur. 

“Mangsa yang berminat dengan konsep pulangan wang yang tinggi itu terus memasukkan sejumlah wang namun tidak mendapat hasil seperti dijanjikan malah suspek meminta mangsa memasukkan lagi wang kononnya untuk caj cukai syarikat  tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas menceritakan perkara tersebut kepada ahli keluarganya sebelum bertindak membuat laporan polis semalam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata seorang lelaki warga Pakistan berusia 25 tahun ditahan selepas dipercayai mencabul seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ketika sedang menjual aiskrim di Taman Seri Indah, di sini, kelmarin.

Katanya lelaki itu ditahan oleh penduduk di situ selepas mangsa memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapanya yang semasa kejadian dia bersama adik perempuannya berusia enam tahun ingin membeli aiskrim yang dijual suspek di hadapan rumah mereka.

“Suspek yang menaiki motosikal berhenti di hadapan rumah mangsa dan ketika mangsa sedang melihat aiskrim di dalam tong ais (di atas motosikal), lelaki warga asing tersebut memegang bahu mangsa.

“Terkejut dengan tindakan itu, mangsa mengundur ke belakang dan suspek kemudian memberi asikrim yang dibeli adik mangsa dan ketika mangsa mahu membayar, suspek memegang tangan mangsa lalu cuba menciumnya,” katanya.

Katanya ketika polis tiba di lokasi kejadian, suspek mengalami luka di bahagian mulut dipercayai dipukul oleh penduduk yang menangkapnya sebelum dia dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk pemeriksaan namun tidak mengalami sebarang kecederaan serius

Beliau berkata pemeriksaan mendapati lelaki itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 dan Akta Imigresen 1959.

Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 2 minit 33 saat di media sosial berhubung penjual aiskrim warga asing itu dipukul oleh seorang lelaki tempatan susulan tindakannya mencabul seorang remaja perempuan.

— BERNAMA

The post Pekerja Kilang Rugi RM23,836 Ditipu Sindiket Pelaburan appeared first on Siakap Keli.




No comments:

Powered by Blogger.