Ads Top

Sunat Mengucapkan Selawat Selepas Azan Dilaungkan

Apabila tibanya hari Jumaat, kita pasti medengar anjuran-anjuran untuk memperbanyakkan selawat.

Bukan hari Jumaat sahaja yang perlu berselawat tetapi hari-hari lain juga perlu dilakukan. Namun, pada hari Jumaat perlulah digandakan amalan selawat serta kebaikan yang lain kerana ia merupakan penghulu segala hari.

Penghulu di sini ertinya yang mempunyai banyak kelebihan dan ganjaran pahala akan dilipatgandakan.

Namun, berbalik kepada selawat; anjuran untuk mengucapkannya adalah bebas dan tidak terikat kepada mana-mana waktu.

Tetapi, tahukah anda ada waktu sunat yang dianjurkan juga untuk membacanya? Ia adalah pada waktu selepas azan dilaungkan.

Hal ini adalah berdasarkan kepada beberapa hadis Nabi SAW yan diriwayatakan oleh Abdullah bin ‘Amr Al-‘As RA;

Maksud: “Sekiranya kalian mendengar muazzin melaungkan azan, maka sebutkanlah sepertimana yang dilaungkan oleh muazzin. Kemudian, berselawatlah ke atasku dan barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya dengan 10 kali.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 384)

Selepas azan dilaungkan, bilal boleh menunggu seketika dan kemudian ucaplah selawat ke atas Baginda SAW.

Hal ini adalah untuk membezakan di antara selawat dan azan. Begitu juga dengan selepas iqamah dilaungkan.

Bilal dan jemaah yang mendengarnya boleh sahaja mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW beberapa ketika selepas ia dilaungkan.

Perkara ini adalah sunat kerana disandarkan dengan perbuatan Baginda SAW. Jadi, selepas mendengar azan dilaungkan, bukan sahaja muazzin yang boleh mengucapkan selawat, anda juga boleh melakukannya untuk mendapatkan pahala sunat.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Sunat Mengucapkan Selawat Selepas Azan Dilaungkan first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.