Ads Top

Solat Bersendirian – Bolehkah Menguatkan Bacaan

Apabila kita menunaikan solat secara berjemaah terutamanya ketika menunaikan solat Subuh, Maghrib dan Isyak, imam selalunya akan menguatkan bacaan Al-Fatihah dan surah pada rakaat pertama dan kedua.

Hal ini kerana hukumnya adalah sunat seperti mana yang telah dilakukan pada zaman Baginda SAW.

Ia juga ada disebutkan dalam beberapa kitab oleh jumhur ulama – “Had bacaan secara jahar (kuat) ialah dengan memperdengarkan bacaan kepada orang di sebelahnya dan had bacaan secara israr (perlahan) adalah dengan memperdengarkan bacaan kepada dirinya sendiri.” (Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 2/219)

Disebabkan itu kita melihat imam akan menguatkan bacaan setiap kali berada di rakaat pertama dan kedua.

Namun, jika solat secara bersendirian, adakah dibolehkan untuk menguatkan bacaan?

Pandangan Imam Nawawi dan daripada mazhab Syafi’e menyebut bahawa dibolehkan. Hukumnya adalah sunat ketika di dalam solat Subuh, Maghrib dan Isyak.

Imam Nawawi menyebut bahawa kedudukan orang yang solat bersendirian itu adalah sama dengan imam. Maksudnya di sini adalah keperluannya untuk menguatkan bacaan adalah dibolehkan terutamanya jika bertujuan mentadabburnya.

أَنَّ الْمُنْفَرِدَ كَالْإِمَامِ فِي الْحَاجَةِ إلَى الْجَهْرِ لِلتَّدَبُّرِ

Maksud: “Seseorang yang solat sendirian itu sama seperti imam dari sudut keperluannya untuk membaca secara kuat bagi membolehkannya mentadabbur (ayat-ayat yang dibaca).” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/389-390)

Kesimpulan

Boleh sahaja menguatkan bacaan jika solat bersendirian terutamanya jika ia boleh menambah kekhusyukan dalam solat.

Namun, jika anda bersolat di tempat awam atau ada jemaah lain di sekitar anda yang boleh menggangu orang lain pula, maka ia perlu dielakkan.

Seeloknya bacaan itu adalah untuk sekadar pendengaran kita sahaja.

Wallahu a’alam.

Baca Juga:
Sejarah Bacaan Kuat Dan Perlahan Dalam Solat

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Solat Bersendirian - Bolehkah Menguatkan Bacaan first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.