Ads Top

Salah Satu Kunci Rezeki Adalah Tawakkal Kepada Allah

Apa yang dimaksudkan dengan tawakkal? Pasti anda banyak kali mendengar perkataan tawakkal dan pasti anda juga memahami maksudnya.

Namun, apa maksud sebenar tawakkal? Dalam surah At-Talaq, Allah ada berfirman yang bermaksud:

Mafhum: “Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (Surah At-Talaq, 65:3)

Ibnu Rajab mengatakan bahawa tawakkal yang sebenar merupakan bentuk sandaran hati kepada Allah dalam meraih kurniaan dan menolak keburukan sama ada dalam bentuk urusan dunia mahupun akhirat.

Ertinya di sini ialah setiap apa yang dilakukan, kita percaya bahawa Allah yang akan menilainya dan ganjaran itu adalah dariNya.

Dan tahukah anda bahawa tawakkal merupakan salah satu kunci rezeki? Hal ini ada disebutkan dalam sebuah hadis, iaitu;

Maksud: “Seandainya kalian benar-benar bertawakkal kepada Allah, sungguh Allah akan memberikan kalian rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi di waktu pagi dalam keadaan lapar dan kembali pada waktu petang dalam keadaan kenyang.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 4164. Disahihkan oleh Imam Tirmidzi)

Maksud Di Sebalik Hadis Ini

Adakah dengan meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah bermaksud manusia itu tidak perlu berusaha?

Tunggu sahaja rezeki itu jatuh ke riba selepas berdoa dan meletakkan harapan kepada Allah?

Bukan, itu bukanlah konsep tawakkal yang dianjurkan. Tawakkal di sini membawa maksud kita telah meletakkan usaha dan berdoa kepadaNya, jadi kita berserah kepada Allah akan setiap hasil yang bakal datang.

Sebagai contoh, graduan yang baru ingin mendapatkan kerja; pasti diletakkan usaha untuk memperkemaskan resume agar menarik, ditambah lagi dengan mencari syarikat-syarikat besar dan yang bersesuaian dengan kualiti diri untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai. Doa pula perlu dilakukan sepanjang masa. Barulah anda layak untuk bertawakkal kepadaNya.

Ibnu Rajab RA berkata – “Tawakkal itu jadi sebab terbesar datangnya rezeki.” (Jaami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, 2:496-497)

Dapat disimpulkan di sini bahawa dengan tawakkal itulah akan membuahkan sikap yang baik dan diredai Allah kerana kita sentiasa percaya bahawa Allah yang mengatur segalanya.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Rumaysho.com

The post Salah Satu Kunci Rezeki Adalah Tawakkal Kepada Allah first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.