Lari Genre Biasa, Sharul Kamal Bersyukur Lagu Maaf Diterima Ramai
Penyanyi yang pernah tular dengan alunan azan yang merdu, Sharul Kamal melahirkan rasa syukur apabila single Maaf nyanyiannya menerima sambutan menggalakkan daripada peminat.
Menurut Sharul, single Maaf yang bergenre folk country adalah jauh berbeza daripada lagu-lagu yang pernah dinyanyikannya sebelum ini.
“Lagu ini dirakam tahun lalu. Sepatutnya ia dilancarkan juga tahun lepas, tapi disebabkan beberapa perkara ia ditunda. Selepas membuat perbincangan dengan pihak pengurusan iaitu Rhythm and Rhyme Entertainment (RNR), baru ia dilancarkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.
“Video muzik (MV) dirakam pada Jun dan seminggu selepas lagu dilancarkan di semua platform digital, MV pula dilancarkan di YouTube.
“Sejujurnya ia bukan forte muzik saya. Tapi saya okay sahaja, saya sudah pernah menyanyikan genre pop dan balada untuk lagu sebelum ini.
“Jadi, lagu Maaf ini di luar kotak saya. Saya selesa untuk itu dan mahu mencuba sesuatu yang baharu. Akim pun kata okay saya nyanyikan genre ini. Apabila mendengarkan hasilnya, saya puas hati ditambah pula dengan sambutan baik yang diterima,” katanya.
Maaf merupakan lagu ciptaan Hang Nadim (Akim Ahmad) manakala lirik pula oleh Bunga Cantik (Stacy).
Menurut Sharul, dia sedia memberikan 100 peratus komitmen kerana baginya nyanyian adalah minatnya dan mahu ia dikongsikan dengan semua orang.
“Saya nak berterima kasih kepada Akim, Stacy dan Epul kerana sentiasa memberikan peluang kepada saya untuk menonjolkan bakat yang ada. Kalau diberi peluang lagi, saya akan buat yang lebih baik.
“Saya sangat bersyukur Allah SWT meletakkan jalan saya macam ni. Tuhan nak bagi saya belajar banyak perkara dan duduk dengan orang berpengalaman. Insya Allah, saya akan berjaya suatu hari nanti,” katanya. – KopiPlanet.com
The post Lari Genre Biasa, Sharul Kamal Bersyukur Lagu Maaf Diterima Ramai appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: