Ads Top

Mic On Ketengah Misi Berbeza Bila Pelawak Cungkil Bakat Penyanyi Baru

Buat julung kalinya selepas bersiaran secara rasmi pada 3 Ogos lalu, Awesome TV memperkenalkan sebuah program realiti yang berjudul Mic On. Mic On merupakan sebuah program yang mencungkil bakat rakyat Malaysia dalam bidang nyanyian dengan sedikit kelainan daripada program-program realiti yang sedia ada.

Mic On akan mula ditayangkan pada 6 November 2020 melalui saluran 112, MYTV, pada setiap hari  Jumaat bermula jam 9.00 malam hingga 10.30 malam. 

Menyuntik elemen komedi dalam program ini, Mic On akan menghiburkan para penonton dengan kehadiran tiga pelawak terkenal negara yang ternyata tidak berpengalaman sebagai penyanyi namun mereka sedaya upaya berusaha untuk melahirkan penyanyi baru untuk memeriahkan lagi industri.

Shuk Sahar, Fad Bocey dan Ropie akan bertindak sebagai pengurus kepada anak-anak didik mereka bagi merebut wang tunai sebanyak RM10,000.

Seramai 25 orang telah menyertai sesi tersebut dan mereka terpaksa melalui dua peringkat penilaian iaitu Ujian Personaliti dan Ujian Rawak. Melalui uijian-ujian ini, ketiga- tiga pelawak tersebut terpaksa memilih empat peserta terbaik untuk diserap masuk ke dalam kumpulan mereka dan seterusnya menjadikan seramai 12 orang sebagai peserta akhir.

Walau bagaimanapun setiap pengurus ini masih tidak mengetahui kemampuan sebenar vokal peserta-peserta yang dipilih semasa pemilihan dijalankan.

Setiap minggu, setiap peserta akan membuat persembahan yang akan dinilai oleh komposer dan penyanyi berpengalaman, Datuk M.Nasir dan Mas Idayu. Peserta-peserta ini akan diberikan tugas untuk mempersembahkan kemantapan vokal mereka mengikut tema yang ditetapkan. Konsep penyingkiran berbeza dengan program yang sedia ada di mana setiap pengurus kumpulan sendiri akan memilih satu nama daripada kalangan anak didik mereka untuk disingkirkan sekiranya kumpulan mereka mencatatkan jumlah markah terkumpul terendah.

Keunikan Mic On adalah kerana cara pemarkahannya yang hanya diambil kira daripada markah peserta yang paling tinggi dan yang paling rendah sahaja dalam setiap kumpulan.

Menurut Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli, “Objektif program masih sama iaitu mencari bakat-bakat baharu untuk mewarnai industri seni tanah air. Tetapi Mic On menjanjikan kelainan dengan menyajikan perdebatan antara pengurus dan para juri yang diselitkan dengan unsur-unsur komedi ketika sesi penilaian selepas setiap persembahan. Kita akan dapat saksikan debaran dengan variasi personaliti Datuk M.Nasir, Mas Idayu dan juga Fad, Shuk serta Ropie kerana ia merupakan perdebatan di antara lagenda-lagenda muzik dengan pelawak-pelawak yang bukan daripada industri muzik. Sesuatu yang benar-benar lari daripada norma realiti program yang lain.”

“Mic On diterbitkan juga sebagai sebuah inisiatif bagi menyokong minat anak-anak milenia yang gemar mempertontonkan bakat mereka melalui media sosial namun, masih tercari-cari platform yang sesuai,” katanya.

Pengacara Nana Mahazan telah dipilih untuk menggemudi Mic On untuk musim pertama ini. – KopiPlanet.com

The post Mic On Ketengah Misi Berbeza Bila Pelawak Cungkil Bakat Penyanyi Baru appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.