Lagu Goyang Upin & Ipin Kini Jadi Goyang Sama-Sama Nyanyian Tyka Zatyka
Nama penyanyi Tyka Zatyka, 25, mungkin kedengaran agak asing di persada seni tempatan, tetapi bakat besar kelahiran Johor Bahru ini bukan sembarangan apabila meraih tuah yang cukup besar tahun ini.
Pemilik nama penuh Noor Amierazatyka Ayob ini diberi peluang keemasan menyanyikan semula lagu animasi popular Upin & Ipin terbitan Les Copaque Production (LCP).
Judul asal lagu ciptaan Arif Asyraf Munap dan lirik Ahmad Zakri Tomirin itu ialah Goyang Upin & Ipin dan dinyanyikan oleh suara karakter asal animasi berkenaan.
Menariknya, video muzik lagu berkenaan yang dimuat naik ke saluran YouTube rasmi LCP sejak 3 Ogos lalu sudah pun meraih lebih 65 juta tontonan.
Seperti mana animasi itu yang turut diminati di negara jiran, Indonesia, pemilihan Tyka juga dilihat tepat. Ini kerana dia sendiri mempunyai kelompok peminat di sana selepas menyertai dan memenangi tempat keempat di pertandingan D’Academy Asia (DAA) di Indonesia musim ke-4 pada tahun 2018.
Untuk projek usahasama Nova Music dan LCP itu, judul lagu itu yang dinyanyikan Tyka telah ditukar tajuk menjadi Goyang Sama Sama.
“Semuanya terjadi begitu pantas. Saya menerima mesej daripada pihak Nova Music beberapa bulan lalu. Ketika itu kebetulan saya ada di Kuala Lumpur kerana ada persembahan menyanyi dengan Noraniza Idris.
“Saya diberitahu ada lagu animasi Upin & Ipin berentak dangdut yang mahu dinyanyikan. Saya difahamkan ada beberapa nama penyanyi dicadangkan, tapi rezeki berpihak kepada diri ini. Satu penghormatan untuk artis baru seperti saya di atas peluang manis ini.
“Rakaman lagu dibuat pada 12 Ogos lalu dan kebetulan sejak menyertai DAA musim empat, saya terdedah dengan lagu dangdut. Jadi, mungkin juga itu antara lesen besar tuah memihak kepada saya,” katanya.
Ujarnya, video muzik lagu itu pun sudah dirakamkan di Johor Bahru pada 12 September lalu dan ditayangkan di saluran YouTube Nova Music Videos pada 16 Oktober jam 3.00 petang.
“Angka 12 juga seperti membawa tuah kepada saya. Macam saya katakan tadi, lagu itu dirakamkan pada 12 Ogos lalu. Video muzik pula pada 12 September. Sebesar impak lagu itu dapat diterima di Indonesia khususnya serta Malaysia, saya juga mengharapkan yang sama untuk versi baru ini.
“Jujur menyanyikan lagu dandgut itu bagai sebati dalam diri. Kemampuan saya menyanyikan lenggok irama Malaysia sejak kecil mungkin bonus untuk menguasai genre muzik lain. Bukan mahu mendabik dada, tapi saya bersyukur dapat menyanyi pelbagai irama sekali gus bukti kemampuan diri ini bersifat versatil.
“Di persaingan DAA 4 pun irama dangdut itu yang membantu nama saya dikenali di sana. Mungkin juga irama dangdut yang akan beri tuah untuk saya menyinar selepas ini. Saya tak kisah jika ada yang menganggap diri ini menumpang populariti Upin& Ipin. Semuanya itu soal rezeki,” katanya.
Anak bongsu daripada lima beradik ini sebenarnya mula menunjukkan kebolehan menyanyi sejak usia empat tahun. Lagu irama Malaysia, Seri Mersing menjadi karya pertama dinyanyikannya sewaktu kecil.
“Masa itu ibu bapa pun sudah mula nampak kecenderungan bakat menyanyi ketika di sekolah rendah. Saya sudah mula beraksi di pentas majlis kahwin. Istilah malu memang tak ada dalam diri. Saya beranikan diri masuk pertandingan karaoke depan orang ramai. Pantang dapat mikrofon mulalah saya nak menyanyi.
“Ketika di sekolah menengah pun saya banyak masuk pertandingan menyanyi. Pertandingan Seiras Seirama yang disiarkan di Astro pun saya masuk. Saya pilih Misha Omar sebagai ikon. Peserta yang masuk kena tiru gaya nyanyian artis mereka. Saya sanggup memotong rambut pendek seperti Misha. Nyanyi angkat kaki yang jadi ‘trend’ Misha pun saya boleh buat. Saya layak ke peringkat akhir, namun tak jadi juara.
“Selepas itu saya meneroka banyak peluang menyertai pertandingan lain seperti Bintang Klasik RTM, 3 Juara di TV3 dan hingga DAA 4. Cuma tuah saya tak ada untuk bergelar juara. Tapi itu tak melemahkan semangat. Ibu saya sendiri pun memberi semangat untuk saya terus melakar jaya,” katanya yang pernah muncul dengan single ”Wangikanlah Hatimu” berduet dengan Noraniza Idris dan single ”Cinta Happy”.
Sementara itu, Eddie Hamid selaku Pengarah A&R Nova Music optimis dengan pemilihan Tyka dalam projek berkenaan.
“Saya percaya gabungan lagu animasi Upin & Ipin dan Tyka ini seperti serampang dua mata kerana kedua jenama itu ada pengaruh di Indonesia khususnya.
“Jika versi asal lagu itu ditonton lebih 65 juta, siapa tahu tuah itu akan beralih dan merebak ke versi nyanyian Tyka pula. Seperti judulnya yang turut diubah, beberapa bahagian lirik juga ditukar dan disesuaikan untuk versi baru ini.
“Tyka menjadi pilihan tepat pihak LCP dan Nova Music di antara cadangan penyanyi lain kerana kebolehannya menyanyikan lagu dangdut dengan baik. Kita harap lagu ini akan diterima baik bukan saja di Indonesia, Malaysia bah kan di seluruh dunia,” Katanya. – KopiPlanet.com
The post Lagu Goyang Upin & Ipin Kini Jadi Goyang Sama-Sama Nyanyian Tyka Zatyka appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: