#26 – Ibu Bapa Merupakan Inspirasi Terbesar Untuk Terus Melangkah
Pelan Efisien 100 Hari
Jika anak-anak sakit, ibulah orang pertama yang akan peka dan risau dengan keadaan itu.
Kadang-kadang, anak-anak tidak sempat memberitahu keadaan sebenar pun, tetapi ibu sudah dapat meneka kesakitan yang dialami.
Jika anak-anak tidak cukup wang untuk membeli peralatan belajar, bapa akan menjadi orang yang paling bertungkus-lumus dalam mencari rezeki.
Kadang-kadang sehingga kesihatannya terabai dan pakainya tidak sempat diurus, namun yang paling penting baginya adalah keselesaan anak-anaknya.
Merekalah insan terhebat yang merupakan tulang belakang kepada setiap kejayaan anak-anak. Doa mereka adalah yang paling mustajab dan jasa mereka menandingi semuanya.
Oleh hal yang demikian, setiap insan yang bergelar anak setiasa dituntut untuk mentaati dan menghormati mereka.
Bagaimana caranya? Salah satunya adalah dengan meneruskan kehidupan yang dilalui dengan penuh yakin dan sabar.
Walau apa pun halangan yang anda sedang lalui sekarang, sentiasa ingat mereka sebagai insan yang sentiasa menginginkan yang terbaik buat anda.
Jika mereka tidak pernah berputus asa dalam mendidik dan membesarkan anda, pemikiran anda juga perlu begitu.
Anda tidak boleh berputus asa kerana perjalanan yang dilalui masih jauh. Walaupun anda merasakan bahawa tiada seorang pun yang memahami atau menghargai jiwa anda, tetapi ingatlah di belakang anda ada dua orang yang sentiasa setia dengan anda.
Jadikan mereka sebagai inspirasi terbesar untuk kejayaan anda dan jangan pernah mengalah dengan kehidupan ini.
Niatkan dalam hati anda setiap hari bahawa anda ingin memberi kebahagiaan buat mereka bukan sahaja di dunia bahkan untuk kesenangan akhirat.
#Menuju2021
#PE1H
The post #26 - Ibu Bapa Merupakan Inspirasi Terbesar Untuk Terus Melangkah first appeared on Tazkirah.
No comments: