Hukum Penyediaan Makanan Kepada Tetamu Yang Menziarahi Kematian
Apabila ada berlakunya kematian, ada satu perkara yang menjadi perhatian; kebiasaannya ahli keluarga si mati akan bertungkus lumus untuk menyediakan juadah ringan sebagai alas perut kepada tetamu yang datang.
Ada juga yang menyediakannya buat mereka yang bertungkus-lumus dalam menyiapkan jenazah seperti tukang mandi mayat, pak imam atau yang membacakan talkin di kubur.
Ia bahkan menjadi kebiasaan dan adat untuk keluarga si mati menyediakannya. Apabila diamati, rasanya tidak sempat untuk bersedih lama-lama dengan kematian tersebut kerana perlu memikirkan menu apa yang akan diberikan kepada mereka.
Memang, terdapat anjuran dalam Islam untuk tidak meratapi kematian atau bersedih dengannya dalam masa yang lama.
Namun, seharusnya diberikan ruang kepada ahli keluarga untuk mendoakan jenazah serta menguruskan perkara yang lebih penting lagi.
Tetapi, tahukah anda bahawa amalan memberi makan ini sepatutnya ditolong oleh orang sekeliling seperti jiran tetangga atau saudara-mara lain yang hadir.
Ada sebuah hadis di mana Nabi SAW mengarahkan agar dibuatkan makanan kepada kepada Ja’far RA;
اصْنَعُوا لآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَإِنَّهُ قَدْ أَتَاهُمْ أَمْرٌ شَغَلَهُمْ
Maksud: “Buatkan untuk keluarga Ja’far makanan yang mana sesungguhnya sesuatu (musibah kematian) telah menimpa mereka dan menyibukkan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 3132)
Berdasarkan hadis ini, sebenarnya disunatkan bagi masyarakat sekeliling untuk membantu keluarga si mati dalam pengurusan jenazah. Ia adalah untuk membantu meringankan beban keluarga si mati.
Berbalik kepada memberi makanan, tidak mengapa jika si keluarga tidak menyediakan juadah kecil-kecilan kepada orang yang datang.
Walau bagaimanapun, bagi menghormati tetamu yang hadir dan menghargai jasa mereka yang telah membantu dalam pengurusan jenazah itu, boleh sahaja untuk menyediakannya.
Adalah lebih baik jika ia dibantu oleh jiran tetangga ataupun saudara-mara.
Jangan salah faham pula mengenai perkara sunat ini.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
The post Hukum Penyediaan Makanan Kepada Tetamu Yang Menziarahi Kematian first appeared on Tazkirah.
No comments: