Bolehkah Mengimami Solat Jika Belum Ganti Solat Yang Tertinggal
Pernahkah sewaktu di bangku persekolahan, apabila tibanya waktu solat tetapi tiada imam yang bertugas kerana anda terlewat mengerjakan solat, jadi anda menolak sahaja mana-mana kawan anda untuk dijadikan imam.
Kadang-kadang, ada kawan yang mengelak daripada menjadi imam dengan memberi alasan – “Aku banyak dosa, mana boleh jadi imam” atau mungkin juga “aku belum qada’ solat Subuh semalam.”
Jadi, timbul persoalan di sini; adakah dosa seseorang imam itu akan mempengaruhi sah atau tidak solat yang diimami atau persoalan mudahnya ialah, adakah seseorang muslim yang masih mempunyai hutang solat itu boleh menjadi imam bagi setiap solat?
Menurut perbahasan para ulama, hukumnya adalah sah – sah solatnya dan juga makmum yang diimaminya. Walau bagaimanapun, terdapat dua pendapat berdasarkan dua situasi solat yang ditinggalkan, iaitu secara sengaja dan juga tidak.
#1 – Solat Yang Ditinggalkan Secara Tidak Sengaja
Menurut beberapa perbahasan, jika solat yang ditinggalkan itu adalah secara tidak sengaja seperti uzur, penyakit terlupa dan sebagainya, maka adalah tidak mengapa untuknya menjadi imam kepada solat walaupun belum sempat menggantikannya.
#2 – Solat Yang Ditinggalkan Secara Sengaja
Jika solat yang ditinggalkan itu adalah secara sengaja seperti malas atau tertidur, maka sebahagian ulama berpendapat bahawa dirinya tidak boleh mengimami solat sehinggalah seseorang itu telah selesai mengqada’nya.
Namun, seseorang yang masih berhutang solat dengan Allah sama ada secara sengaja ataupun tidak, boleh dan sah ke atasnya untuk mengimami solat.
Hal ini kerana, larangan yang menyebabkan rosaknya (tidak sah) ibadah hanya berlaku apabila ia mengakibatkan kepada zat ibadat atau syarat sahnya ibadah tersebut. Sebagai contoh, solat yang tidak sah kerana terlupa bacaan Al-Fatihah atau wuduknya yang tidak tertib.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, sah solat imam dan makmum yang diimami oleh orang yang masih ada hutang solat terhadap Allah. Seseorang itu perlu berusaha mengqada’ solat agar tiada lagi keraguan atau rendah diri dalam dirinya untuk mengimami solat.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
The post Bolehkah Mengimami Solat Jika Belum Ganti Solat Yang Tertinggal first appeared on Tazkirah.
No comments: