Ads Top

Apa Boleh Dilakukan Jika Tidak Dapat Melawat Jenazah COVID-19

Apabila kita mendengar berita kematian, disunatkan untuk memberi ucapan takziah kepada kaum kerabat si mati.

Bukan itu sahaja, kita juga disunatkan untuk menziarahi jenazah tersebut. Ia adalah bentuk kebajikan terakhir yang boleh dilakukan kepada sesama manusia.

Namun, umum mengetahui jika seseorang meninggal akibat COVID-19, pengurusan jenazahnya dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab yang dipantau oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jadi, apakah hukumnya ke atas umat Islam jika ada ahli waris atau jiran yang meninggal dunia akibat COVID-19; adakah boleh menziarahinya?

Melihat kepada ulasan yang telah diberikan oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli melalui COVID-19 Fiqh: Q&A yang telah diulas, terdapat dua perkara yang boleh dipertimbangkan untuk menziarahi jenazah COVID-19;

#1 – Yang pertama, jika berada dalam zon yang tidak dibenarkan keluar seperti terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka tidak mengapa untuk tidak menziarahi jenazah mereka.

Hal ini kerana, menjadi tugas dan tanggungjawab kita juga untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan sekali gus untuk mengelakkan penyebaran virus tersebut.

#2 – Yang kedua, hukum fardu kifayah ke atas pengurusan jenazah telah gugur kerana telah ada orang yang ditugaskan untuk menguruskannya.

Justeru, tidak mengapa untuk tidak menziarahi atau melakukan solat jenazah ke atasnya.

Tetapi itu tidak bermakna anda tidak boleh melakukan apa-apa sebagai saudara seislam mereka. Ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan seperti;

#1 – Anda boleh mengucapkan takziah kepada ahli keluarganya dari jauh (jika sukar untuk melawat). Teknologi sekarang telah memudahkan kita untuk berhubung, jadi boleh sahaja memberi ucapan tersebut melalui panggilan telefon mahupun mesej.

#2 – Selain itu, Al-Fatihah dan doa juga boleh dikirim dari jauh. Hal ini tidak menjadi permasalahan kerana kiriman tersebut juga akan sampai kepada si mati.

#3 – Dan solat sunat jenazah ghaib juga boleh dilakukan ke atas jenazah meski pun anda tinggal berjauhan atau jenazah telah pun ditanam.

Hukum asal perbuatan ini adalah harus dan dibolehkan ke atas seseorang untuk menunaikan solat jenazah ghaib jika tidak sempat melaksanakannya.

Kesimpulan

Justeru, dapat kita faham bahawa jika wujud perkara yang menghalang daripada menziarahi jenazah, ada banyak cara lain yang boleh dilakukan untuk melaksanakan hak sebagai manusia.

Kirim doa dan semoga rohnya dicucuri rahmat juga adalah antara perbuatan paling mudah yang boleh dilakukan.

Sumber:
COVID-19: Fiqh Q&A

The post Apa Boleh Dilakukan Jika Tidak Dapat Melawat Jenazah COVID-19 first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.