Ads Top

Status Hadis – Bilal Bin Rabah Bermimpi Bertemu Rasulullah

Masih ingat lagi tak mengenai peristiwa kewafatan Baginda SAW yang telah menggemparkan semua? Kita melihat ada dalam kalangan sahabat yang tidak dapat menerima berita kematian tersebut selagi tidak melihat dengan matanya sendiri.

Dan ada juga yang sehingga tidak dapat menerima hakikat tersebut dan hanya mampu bersedih. Sebagaimana Bilal bin Rabah yang tidak dapat melaungkan azan kerana terlalu sedih dan rindu akan sosok tubuh Baginda SAW.

Betapa hebatnya kisah cinta dan kerinduan mereka kepada Baginda SAW sehingga ia mengubah kehidupannya. Apabila diambil contoh kisah Bilal, kita tahu bahawa kerinduannya kepada Baginda SAW amat hebat.

Selepas kematian Baginda, Bilal telah berhijrah ke Syam. Beliau tidak dapat melaungkan azan lagi kerana setiap kali sampai kepada separuh azan, air matanya akan menitik dan tidak dapat ditahan akibat rindu yang terlampau kepada Baginda.

Sehinggalah banyak kisah yang menyebut bahawa walaupun ramai yang menyuruhnya untuk melaungkan azan, namun beliau tetap tidak dapat berbuat demikian.

Ada juga sebuah kisah yang menyebut bahawa Baginda SAW telah hadir ke dalam mimpi Bilal dan asbab daripada itu, Bilal berjaya melaungkan azan semula.

Maksud: “Kemudian, Bilal bermimpi bertemu Rasulullah di dalam tidurnya. Lalu, dia ditegur oleh Nabi SAW: “Wahai bilal! Alangkah keras dan gersangnya hatimu, di mana kerinduanmu kepadaku, lama kamu tidak menziarahiku.”

Bilal pun tersedar dalam keadaan sedih dan takut.” Dia terus menunggang tunggangannya menuju ke Madinah lalu menziarahi makam Nabi SAW. Lalu, dia menangis di sisi makam Nabi SAW sambil mengusapkan wajahnya. Setelah itu, datanglah Hasan dan Husin dan keduanya memeluk dan menciumnya sambil berkata: “Wahai Bilal! Kami rindu untuk mendengarkan azanmu seperti mana dulu kamu azankan untuk Rasulullah SAW pada waktu sahar (sebelum masuknya waktu Subuh).”

Bilal pun memenuhi permintaan mereka berdua lalu melaungkan azan dari atas bumbung di tempat yang sama ketika dia melaungkan azan dulu (pada zaman Rasulullah). Apabila terdengar laungan suaranya, auranya menggegarkan kota Madinah.

Para penduduk Madinah keluar dari rumah mereka sambil berkata: “Apakah Rasulullah telah diutuskan kembali?” Sungguh, tiada hari yang paling banyak tangisan daripada kaum lelaki dan wanita di Madinah selepas kewafatan Rasulullah SAW melebihi daripada hari itu.”

Kisah ini dinukilkan melalui kitab Tarikh Dimashq oleh Ibn Asakir dan juga melalui Usd al-Ghabah oleh Ibn Al-Athir.

Walau bagaimanapun, menurut perbincangan ulama, terdapat beberapa kemusykilan mengenai status kisan ini.

Imam al-Hafiz Ibn Abd al-Hadi berkata, kisah ini adalah tidak sahih kerana terdapat perawi dan sanad yang terputus.

Imam Al-Hafiz al-Zahabi juga menyebut bahawa ia adalah riwayat yang mungkar, manakala Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut bahawa ia adalah kisah yang palsu.

Justeru, melihat kepada penjelasan yang telah diberikan melalui Mufti Wilayah Persekutuan, kisah ini adalah palsu dan tidak boleh disebarkan melainkan untuk menyatakan ketidaksahihannya.

Bila Bilal Mula Laungkan Azan

Diriwayatkan bahawa Bilal ada melaungkan azan setelah sekian lama tidak dapat melaungkannya.

Ada riwayat menyebut bahawa ia dilaungkan ketika Umar al-Khattab datang ke Syam dan orang ramai menyuruhnya memujuk Bilal untuk melaungkan azan.

Waktu itu, Saidina Umar menyuruh Bilal menjadi muazin. Kemudian, beliau telah naik ke menara masjid tersebut dan melaungkan azan.

Daripada Zaid bin Aslam, daripada ayahnya berkata:

Maksud: “Kami datang ke Syam bersama dengan Umar, maka Bilal telah azan. Maka, manusia yang berada di situ mengingati nabi (apabila mendengar azan Bilal. Aku tidak melihat satu hari pun orang yang paling banyak menangis daripadanya (iaitu Bilal).” (Siyar A’lam al-Nubala, 1/357)

Peristiwa ini dikatakan berlaku ketika zaman pemerintahan Saidina Umar sebagai Khalifah.

Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.