Ads Top

Bolehkah Beri Pinjam Barang Kepada Seseorang Tanpa Izin Tuannya

Pinjam meminjam adalah hal yang bukan asing dalam budaya kita. Contohnya bagi mereka yang mempunyai jiran tetangga yang rapat, kadang-kadang akan meminjam penyapu, paip getah untuk menyiram pokok bunga atau membasuh kereta, pinjam vacum, malah pinjam kereta pun ada.

Atau mereka yang bekerja dalam satu pejabat, mungkin ada juga yang pernah meminjamkan barang orang lain tanpa keizinan.

Pinjaman dalam Islam bermaksud membenarkan penggunaan sesuatu yang halal digunakan dengan mengekalkan keadaan asal. Namun bagaimana pula jika kita bukan pemilik sesuatu barang tetapi memberikannya untuk dipinjam tanpa izin tuannya? Mungkin dengan alasan, “Oh dia tak marah” atau “Takpe aku rapat dengan dia, dia akan okay je.”

Walau apa pun alasannya, tindakan meminjamkan barang kepada orang lain tanpa izin pemiliknya adalah tidak dibolehkan. Sama juga apabila seseorang itu meminjam barang, barang itu tidak boleh dimanfaatkan untuk tujuan perkhidmatan yang lain seperti meminjamkan atau menyewakannya pula kepada orang.

Contohnya orang yang meminjam kereta, dia tidak boleh menggunakan pula kereta itu untuk disewakan kepada orang lain, atau untuk khidmat penghantaran penumpang atau barang. Kerana dia mengambil manfaat yang berganda daripada hal tersebut tanpa izin pemilik yang asal.

Dia hanya dibenarkan mengguna barang yang dipinjam untuk kegunaan diri sendiri sahaja. Di sini berlaku dua kesalahan kerana ‘pinjam atas pinjam’ tanpa kerelaan dan keizinan.

Seseorang mestilah meminta izin dahulu kepada pemilik barang atau kenderaan tersebut, serta menerangkan untuk apa ia akan digunakan.

Islam sangat menggalakkan usaha untuk membantu orang yang dalam kesusahan namun dalam masa sama turut menitik beratkan tentang penjagaan hak milik seseorang. Hargailah bantuan yang telah diberikan dengan menjaga ia dengan sebaiknya.

Rujukan:

Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.