Perkelahian Antara Jantina Yang Membuang Masa
Saya tidak pasti sejak tahun kebelakangan ini di dalam media sosial, saya pasti akan terjumpa naratif pergaduhan antara dua jantina lelaki dan wanita.
Apa yang saya perasan ialah hal ini lebih banyak muncul dalam kalangan pengguna Twitter berbanding Facebook. Pada hemat saya mungkin kerana pengguna Twitter lebih kepada demografi orang muda yang berdarah panas dan lebih gemarkan ayat-ayat berbentuk sensasi yang kurang nilainya.
Manakala pengguna Facebook pula ada juga membicarakan hal yang sama terutama di dalam halaman tertentu yang berkonsepkan luahan rahsia (anonymous confession) yang kita sendiri tidak pasti sama ada luahan itu dari orang sebenar atau hanyalah ayat ciptaan pentadbir halaman tersebut.
Cumanya apa yang saya perhatikan dari kedua-dua media sosial ini ialah perbuatan menyalahkan satu sama lain tersebut lebih berbentuk emosi yang tidak diuruskan dengan baik. Contoh paling mudah ialah tangungjawab lelaki dan wanita dalam konteks aurat dan maruah diri.
Apabila berhujah dengan nafsu amarah dan emosi tidak stabil, maka lahirlah pandangan ekstrem dari kedua belah pihak. Perkara ini akan sentiasa berlarutan tanpa kesudahan melainkan diri kita sendiri yang berhenti seketika dan berfikir dengan tenang.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Wahai umat manusia. Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah Al-Hujurat 49: 13)
Ayat al-Quran ini menjelaskan supaya kita mengenali mengapa munculnya bentuk pemikiran yang berbeza, iaitu memihak pada lelaki dan memihak pada wanita.
Kita tidak diciptakan untuk menyalahkan satu sama lain kerana apalah tujuan hidup di dunia sekiranya perkara itu sahaja yang kita luangkan masa.
Dalam salah satu ceramah Dr Yasir Qadhi, Dekan The Islamic Seminary of America, beliau pernah membaca buku ‘international bestseller’ yang bertajuk Men Are from Mars, Women Are from Venus tulisan John Gray.
Dalam ceramah tersebut, beliau menghuraikan apakah perbezaan lelaki dan wanita, dan apa yang perlu kita tahu tentang diri masing-masing. Begitulah apa yang telah ditulis oleh John Gray, apabila saya membacanya daripada terbitan Bahasa Melayu oleh PTS.
Cumanya, kita sebagai Muslim molek untuk mengambil pengajaran baik dan ilmu bermanfaat sesuai dengan budaya dan gaya hidup sebagai orang Islam.
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
“Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl 16: 43)
Menurut Dr Zulkifli al-Bakri ketika beliau sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, kita diharuskan untuk menerima pandangan orang bukan Islam dengan syarat-syarat tertentu. Ini boleh dirujuk dalam tulisan yang dimuatnait oleh laman web Mufti Wilayah Persekutuan yang bertajuk Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-366: Hukum Menerima Pandangan Orang Bukan Islam.
Antara syarat tersebut ialah tidak bercanggah dengan Islam, bertujuan baik, dan dalam hal keduniaan. Justeru, berbalik pada konteks perbincangan kita ini.
Perbezaan jantina menurut John Gray tidak sekadar pada penyerupaan fizikal, malah kita juga berbeza dari segi sudut pandang dan cara fikir. Menurut Gregory L. Jantz dalam tulisan Psychology Today, sebuah majalah mengenai ilmu psikologi, memahami perbezaan jantina dari sudut neurologi membuka pintu kepada menghargai jantina yang berbeza, dan dapat memberikan kaedah kepada pendidik atau ibubapa bagaimana untuk mengajar anak dalam umur yang masih kecil.
The post Perkelahian Antara Jantina Yang Membuang Masa first appeared on Tazkirah.
No comments: