Daya Fokus Yang Semakin Pudar Dalam Perhubungan
TLDR – Too Long, Don’t Read sebuah istilah yang pernah dibincangkan oleh Ustaz Hasrizal Abd Jamil bersama anaknya di Ireland. Anak beliau sengaja membangkitkan topik tersebut selepas selesai waktu makan malam bersama.
Lalu beliau mencetuskan kegusaran tentang fenomena ini dengan membandingkan antara zaman 90’an hinggalah kini yang mana wadah sosial media seperti Snapchat, TikTok dan sebagainya sedikit sebanyak mempengaruhi gaya pembacaan manusia pada masa kini.
Jika sebelum ini orang boleh lagi melayan blog tetapi kini orang malas hendak ke sana kerana alasan terlalu panjang untuk dibaca, bukan sekadar itu sahaja bahkan sekarang sudah menjadi-jadi budaya orang meminta sesuatu karangan separa panjang dilukiskan padahal boleh sahaja kita memahaminya jika tekun dan fokus sebentar.
Lainlah kalau perkara yang dibentangkan sebuah esei rumit seperti jurnal saintifik, itu perlulah kita bantu dengan graf lukisan dan sebagainya.
Simon Sinek pun turut melahirkan kegusaran yang sama dalam sebuah video beliau apabila bercakap soal kesan ketagihan telefon pintar ke dalam sesuatu perhubungan sama ada hubungan romantik, persahabatan, kekeluargaan mahupun organisasi.
Kata beliau sesuatu hubungan terbina dengan mekanisme perbualan antara kita, tetapi kalau semua sudah ketagihan telefon pintar, bagaimana kita hendak dapatkan kenalan baru jika ada pertemuan di mana-mana majlis?
Beliau turut berkongsi masalah ketagihan ini juga yang menyemai sikap narsistik dalam diri dengan begitu mekar sekali. Iaitu perasaan “aku,aku dan aku”. Sebab itu tema perhubungan pada hari ini kita lihat banyak pergaduhan kecil-kecil yang begitu remeh sekali namun jika diteliti dari kacamata ahli psikologi ia bukanlah remeh sebenarnya.
Ia sebuah kanser yang sudah menular ke dalam pemikiran seseorang hingga apa sahaja situasi dalam perhubungan, dia lebih mementingkan soal “aku hendak ini, hendak itu”.
Segalanya adalah berpetakan diri sendiri dan tiada sikap peduli perihal pasangan kerana semakin lemah kemahiran memahami orang lain.
Namun begitu, menyalahkan sepenuhnya kemajuan teknologi bukanlah niat utama saya dalam menyentuh hal ini kerana inilah realiti hidup yang kita perlu tempuh dan belajar.
Kita boleh hidup bersama teknologi secara sihat jika sekiranya gaya hidup kita memiliki rutin yang baik seperti kata Dr Jordan Peterson. Memiliki rutin yang sihat adalah lawan kepada kegiatan yang memusnahkan hidup seseorang individu seperti ketagihan dan pembinasaan kesihatan diri.
Nabi SAW seorang yang sangat memberi perhatian kepada mana-mana lapisan masyarakat yang baginda jumpa, menerusi beberapa buah hadis seperti berikut :
Anas bin Malik ra menceritakan,
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا وَكَانَ لِى أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ قَالَ أَحْسِبُهُ قَالَ – كَانَ فَطِيمًا – قَالَ – فَكَانَ إِذَا جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَآهُ قَالَ: أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ. قَالَ نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ.
“Rasulullah adalah orang yang paling bagus akhlaknya. Aku (Anas) mempunyai seorang saudara lelaki yang dikenal dengan kunyah Abu ‘Umair. Pada saat itu aku menyangka dia masih dalam usia menyusui (kurang dari 2 tahun). Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam datang, biasanya beliau melihatnya. Kemudian beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata, “Wahai Abu ‘Umair ada apa dengan nughair?”Anas berkata, “(Nughair) adalah burung kecil yang dia (Abu ‘Umair) biasa bermain dengannya.” (HR. Bukhari no. 6129, 6203 dan Muslim no. 2150)
Anas bin Malik ra menyebutkan,
إِنْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيُخَالِطُنَا حَتَّى يَقُولَ لأَخٍ لِي صَغِيرٍ
“Sesungguhnya Nabi saw benar-benar biasa bergaul dengan kami, sehinggakan pada saudara kecilku … ”
Dalam riwayat Imam Ahmad yang juga dari sahabat Anas ra disebutkan,
كَانَ لِأَبِي طَلْحَةَ ابْنٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُضَاحِكُهُ قَالَ فَرَآهُ حَزِينًا فَقَالَ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ
“Abu Thalhah dahulu memiliki seorang anak lelaki yang dikenali dengan kunyah Abu ‘Umair. Nabi saw biasanya suka mengajaknya bergurau senda. Suatu ketika, beliau melihatnya sedih. Beliau pun bertanya, “Wahai Abu ‘Umair ada apa dengan si Nughair?” (HR. Ahmad no. 12158. Syaikh Syu’aib Al-Arnauth mengatakan, “Sanadnya sahih sesuai syarat Bukhari dan Muslim)
Dengan budak kecil pun Nabi SAW memberi perhatian yang mendalam (pay attention) lalu bagaimana pula dengan kita yang bukan bertaraf kenabian malah belum tentu masuk syurga? Ini suatu tamparan yang berguna buat diri kita agar lebih bermuhasabah dan menghargai kewujudan orang sekeliling kita.
Memberi Perhatian Boleh Kurangkan Risiko Perceraian
Dalam topik besar The Sound Relationship House terdapat beberapa pecahan topik kecil yang memainkan peranan dalam membina rumah tangga sihat menurut Gottman iaitu “Turn Towards Instead of Away” . Topik kecil ini salah satu elemen yang penting untuk mempertahankan rumah tangga iaitu menghargai pasangan dengan membuatkan pasangan rasa dirinya wujud disisi kita.
Betapa ramai dikalangan kita selepas habis berbulan madu, terus sahaja kembali pada sikap lama seperti ketagihan telefon pintar? Belum cerita lagi masalah-masalah keperluan emosi yang tertangguh disebabkan permainan video, vape/rokok dan juga ketagihan melayari media sosial.
Ini semua boleh membunuh salah satu keperluan emosi pasangan iaitu rasa dirinya disayangi, dimiliki, dan dipelihara dengan baik. Jika keperluan ini terdapat kelompongan yang besar ia boleh mengundang pelbagai masalah lagi seperti kecurangan dan perceraian.
Menurut Gottman lagi pasangan yang sering memberi perhatian kepada pasangan dari segi fizikal dan emosional lebih mampu mempertahankan perkahwinan mereka sehingga 86% berbanding pasangan yang tiada hubungan emosional yang sihat boleh menjerumuskan status kesihatan perkahwinan mereka sehingga 33%.
Di sini saya akan memberikan beberapa cara mudah tetapi sangat berkesan di mana anda dapat menjalin hubungan emosi yang mendalam dan berkekalan dengan orang yang anda sayangi dan menunjukkan kepada mereka komitmen dan perhatian anda sepanjang hari (mereka yang sudah berkahwin sahaja):
1) Anda baru sahaja bangun dan pasangan anda berbaring di sebelah anda. Berguling-guling, letakkan lengan di sekeliling mereka, dan beritahu mereka betapa bersyukurnya anda sehingga anda bangun di sebelah mereka setiap hari.
2) Anda membaca surat khabar untuk sarapan dan pasangan anda memberikan komen yang tepat mengenai pertemuan yang mereka lakukan pada hari itu. Ikuti apa yang mereka katakan (letakkan kertas itu!) Dan beri perhatian anda selama satu minit.
3) Anda berjalan bersama dan anda melihat pasangan anda kelihatan sejuk. Singgah ke kedai kopi terdekat dan dapatkan minuman hangat untuk dia!
4) Pasangan anda ingin pergi ke suatu tempat. Minta dia datang berjumpa dengan anda sebelum dia pergi. Apabila mereka datang menemui anda, beri dia ciuman enam saat.
5) Anda melihat bahawa pasangan anda kelihatan tertekan. Beri tahu dia yang anda perhatikan dan tanyakan kepada dia jika mereka ingin membincangkan apa yang dirasakan.
6) Pasangan anda menghantar pesanan teks kepada anda mengenai sesuatu – apa sahaja. Balas semula mesej kepada si dia supaya si dia tahu betapa terujanya kita kepada si dia.
7) Puji pasangan anda tentang sesuatu yang mereka lakukan. Puji pasangan anda mengenai penampilan mereka. Terima kasih atas sesuatu yang dia buat baru-baru ini yang anda hargai.
8) Pasangan anda pulang dari tugasnya dan melakukan beberapa kerja rumah. Tanpa mengucapkan sepatah kata, sertai dan mulailah menolong mereka.
9) Pasangan anda memberitahu anda bahawa dia sedang lapar. Anda beritahulah dia yang anda juga lapar, dan anda akan membawanya keluar untuk makan malam.
10) Pasangan anda dan anda bercakap selepas makan malam, dan dia mengatakan betapa mereka rindu keluar dan menari seperti yang biasa anda lakukan pada waktu itu. Setuju dan cadangkan agar anda keluar sekarang dan menari.
Senarai cadangan yang disebutkan di atas adalah beberapa saranan oleh Gottman dalam memperkasakan dan menyemarakkan lagi suasana “Bids for Connection” (menyambung hubungan emosi) antara pasangan suami isteri.
Kita sedia maklum yang teknologi sebahagiannya telah hampir menguasai kehidupan kita namun tidak bererti kita tidak boleh mewujudkan sistem perhubungan yang sihat dengan pasangan.
Saya pun tidak gemar dengan idea-idea utopia seperti menyalahkan kesemua wadah media sosial tanpa kita ambil secebis kebaikan darinya. Cuma cabaran yang kita berdepan seperti masalah ketagihan itu sememangnya realiti dan fakta yang perlu kita terima.
Sumber rujukan:
- Turn Towards Instead of Away
- The Sound Relationship House: Turn Towards Instead of Away
- Masters of Love : Science says lasting relationships come down to—you guessed it—kindness and generosity.
- SELF-ESTEEM, GRATIFICATION & ADDICTION | Simon Sinek on London Real
The post Daya Fokus Yang Semakin Pudar Dalam Perhubungan first appeared on Tazkirah.
No comments: