Ads Top

Perang Uhud Dan COVID-19: Iktibar Untuk Memerdekakan Negara Kita

Kita baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-63 tahun. Bila diamati, ia adalah jangka masa yang agak lama dengan usaha yang terlalu banyak bagi mengekalkan kebebasan negara ini.

Namun, sambutan tahun ini agak berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini disebabkan Malaysia masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada babak COVID-19. Jadi setiap dari kita perlu berkorban bagi melalui perjuangan ini.

Ekoran daripada itu, Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sekali lagi mengumumkan keputusan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang sepatutnya telah berakhir pada Ogos lepas disambung sehingga ke 31 Disember 2020.

Dari sini kita dapat lihat bahawa kita masih belum bebas dan belum menang sepenuhnya dalam melawan wabak ini.

Walaupun pada awalnya, sudah beberapa kali Malaysia mencatat angka kosong jangkitan wabak ini, namun ada beberapa waktu yang lain wabak ini kembali menyerang.

Apabila dilihat pada reaksi-reaksi rakyat Malaysia, masing-masing sudah mula bernafas lega tatkala melihat penurunan kes setiap hari sehingga ada yang bersorak gembira dengan memuat naik posting syukur di Twitter apabila tiada kes dicatat, namun ia kambali menaik dengan angka yang kadang-kadang boleh merisaukan kita.

Perihal ini mengingatkan kita kepada sebuah perang yang pernah terjadi pada zaman Nabi Muhammad SAW, iaitu Perang Uhud di mana umat Islam waktu itu telah menggapai kemenangan, namun disebabkan ketidakpatuhan kepada pemimpin, kekalahan telah melanda mereka.

Kemenangan Dan Kekalahan Perang Uhud

Perang Uhud berlaku akibat daripada dendam kaum Musyrikin yang telah kalah dalam Perang Badar dan mereka ingin menuntut bela di atas kekalahan tersebut.

Tuntutan bela itu bukanlah semata-mata kerana ramainya golongan Musyrikin yang terbunuh, namun bagi mengembalikan semua maruah mereka yang telah kalah dalam Perang Badar.

Ia telah berlaku pada 5 Syawal tahun 3 Hijrah dan dinamakan Perang Uhud kerana ia telah berlaku di Bukit Uhud.

Perang ini telah dianggotai oleh 3000 orang tentera Musyrikin Quraisy yang telah dipimpin oleh Abu Sufyan bin Harb dengan strategi peperangan yang cukup bersemangat bagi melawan 700 orang tentera Islam yang telah dipimpin oleh Rasulullah SAW sendiri.

Sirah mengatakan bahawa pada asalnya terdapat lebih kurang 1000 orang tentera dari kalangan umat Islam, namun di pertengahan jalan, seramai 300 orang darinya telah berpatah balik ke Madinah kerana telah termakan hasutan Abdullah bin Ubai yang merupakan ketua kepada orang munafik.

Walau bagaimanapun, kemenangan perang ini telah berpihak kepada umat Islam kerana strategi peperangan yang sangat mantap walaupun kekurangan tenaga tentera melebihi separuh daripada kaum Musyrikin.

Salah satu strateginya adalah Baginda SAW telah membahagikan tentera Islam kepada tiga bahagian, iaitu Pasukan Pemanah yang berpusat di atas bukit, Pasukan Kanan dan Pasukan Hadapan.

Namun, catatan sirah menyebut bahawa kekalahan telah melanda pasukan Islam. Apa yang menyebabkan kekalahan ini berlaku? Antara sebab yang paling jelas adalah kerana mengingkari arahan pemimpin sendiri, terutamanya Baginda SAW.

Apabila melihat kaum Musyrikin lari dari tapak peperangan sekali gus menunjukkan tanda-tanda kekalahan mereka, umat Islam mula bersorak gembira dan menyangka bahawa mereka telah menang sepenuhnya.

Mereka mula meninggalkan kedudukan masing-masing dan mengejar harta perang yang ditinggalkan oleh kaum Musyrikin.

Disebabkan mereka pernah menang dalam Perang Badar, jadi umat Islam terlalu yakin bahawa kemenangan awal perang Uhud itu adalah milik mereka sehingga akhirnya mereka alpa dengan keadaan semasa.

Akhirnya, lebih kurang 70 orang Islam telah gugur syahid termasuklah Saidina Hamzah, bapa saudara nabi.

Ia menunjukkan kesan yang sangat buruk apabila kita melanggar aturan pemimpin sebagaimana perlakuan 40 orang barisan pemanah yang telah melanggar aturan dengan turun ke tapak peperangan dan meninggalkan kedudukan bagi mengambil harta rampasan perang.

Sedangkan pada waku itu, mereka sudah mencapai kemenangan awal, namun disebabkan leka dan meninggalkan aturan pemimpin, akhirnya kekalahan menimpa mereka.

Walaupun kita boleh sifatkan ia sebagai ujian dan cubaan buat umat Islam, namun ia juga merupakan pengajaran yang perlu kita lihat akan peri pentingnya mendengar arahan pemimpin.

Kita Boleh Menang Jika Mengikut Arahan Pemimpin

Mendengar arahan yang dikeluarkan itu tidak cukup jika ia tidak diikuti dengan perbuatan.

Sebagai rakyat dan manusia yang bukan sahaja sayangkan nyawa dan negara ini, kita seharusnya sedar bahawa kepatuhan kepada pemimpin itu merangkumi semua perkara termasuklah memahami setiap keputusan yang diambil itu adalah untuk kebaikan kita semua.

Kita telah hampir menang perjuangan melawan COVID-19, namun disebabkan kealpaan kita selepas merasai kemenangan itu, kita hampir menghampiri kejatuhan.

Dan perkara inilah yang perlu dielakkan. Kita masih punya masa untuk memperbaiki keadaan ini dengan kembali sedar bahawa semuanya bergantung kepada diri kita sendiri.

Arahan, SOP dan undang-undang telah dikuatkuasakan. Namun, jika kita yang memilih untuk melanggarnya, maka kita sendiri yang akan menanggung kerugian itu.

Bukan itu sahaja. Ia memerlukan usaha bersama. Jadi, sama-samalah kita berganding bahu bagi membebaskan negara kita daripada terus dijajah perang COVID-19. Barulah kita akan merasai kemerdekaan yang sepenuhnya.

Rujukan:
Kajian Kekalahan Perang Uhud
Mufti Wilayah Persekutuan
Analisis Uhud – Dilema Antara Kepatuhan Dan Keghairahan




No comments:

Powered by Blogger.