Ads Top

Mana Lebih Utama – Orang Kaya Yang Bersyukur vs Orang Miskin Yang Bersabar

Di saat ekonomi dan keadaan politik negara yang tidak menentu kesan Covid-19 yang masih belum berakhir, ia pasti memberi kesan kepada keadaan sosioekonomi masyarakat.

Ada orang yang kehilangan pekerjaan manakala yang sudah sedia ada tiada pekerjaan pula pasti lebih lagi terkesan. Ibarat kesusahan yang datang bertimpa-timpa.

Namun tidak kurang kita lihat keadaan sekelompok golongan yang digelar ‘T20’ atau mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah dengan kadar purata bulanan RM 10,971 ke atas, masih lagi tiada masalah berbelanja dan menjalani kehidupan sehari-hari.

Di sini akan kelihatan perbandingan dua golongan iaitu, golongan kaya dan juga golongan miskin. Dan persoalan yang ditimbulkan oleh segelintir orang adalah, golongan mana yang lebih baik, atau jika diperincikan lagi, antara orang kaya yang bersyukur dan orang miskin yang bersabar – mana lebih baik?

Dalam hal ini pelbagai ulama memberikan pendapat dengan alasan masing-masing. Ada yang berkata bahawa orang miskin yang bersyukur lebih baik kerana mereka akan lebih cepat dihisab di akhirat kelak.

Ada pula yang berpendapat bahawa orang kaya yang bersyukur lebih baik kerana mereka mendapat peluang yang banyak untuk bersedekah dan melakukan kebajikan yang lain.

Namun pendapat yang lebih tepat sebenarnya boleh dilihat kepada jawapan Ibnu Taimiyyah. Beliau ditanya dengan persoalan ini lalu beliau menjawab, “Yang paling utama di antara keduanya adalah yang paling bertaqwa kepada Allah Taala. Jika orang kaya dan orang miskin tadi sama dalam taqwa maka bererti mereka sama darjatnya.”

Begitu juga dengan jawapan Ibnu Qayyim yang merumuskan pandangan para peneliti ilmu hadis, bahawa keutamaan antara orang kaya dan orang miskin itu bukanlah dilihat pada miskin atau kayanya, tetapi kembali kepada amalan, keadaan, dan hakikatnya.

Di sisi Allah, yang lebih utama dilihat dari sudut ketakwaan serta keimanan, dan bukan dilihat dari miskin atau kayanya.

Bukankah Allah Taala juga telah berfirman dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu.” (Surah Al-Hujurat 49:13)

Bukan miskin atau kayanya seseorang yang dilihat oleh Allah, tetapi ketakwaan jua.

Justeru, dalam keadaan hidup apa pun kita berada sekarang, beramal lah semampu mungkin seperti yang telah diperintahkan. Bersabarlah tatkala ditimpa kesusahan hidup (tanpa meninggalkan usaha), manakala bersyukurlah jika kita masih merasa nikmat harta serta jangan lupa untuk membantu orang lain yang memerlukan.

Rujukan:

Rumaysho.com

The post Mana Lebih Utama - Orang Kaya Yang Bersyukur vs Orang Miskin Yang Bersabar first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.