Ads Top

Lihat Pada Apa Yang Disampaikan, Bukan Siapa Yang Menyampaikan

Menjadi trend orang kita sekarang, suka mengikut golongan yang lebih ramai followers berbanding dengan orang yang biasa sahaja (tanpa pengikut yang ramai).

Namun, apabila dilihat kepada perkongsian atau perkara yang disampaikan, kualiti mereka sangat berbeza. Sehinggakan ada beberapa kes yang berlaku di mana para pempengaruh ini sebenarnya menipu mengenai identiti mereka sendiri.

Ada yang sebenarnya tidak mempunyai sijil atau kelulusan seperti yang dinyatakan; contohnya kita lihat beberapa bulan lepas, ada sebuah akaun di Twitter yang mengaku dirinya sebagai doktor dan Pakar Psikologi, namun sebenarnya bukan.

Tetapi apabila dilihat kepada perkongsian yang dilakukan di Twitter beliau, ada sebahagiannya yang mendapat komen positif daripada netizen. Tetapi, caranya yang tidak betul membuatkan apa yang dilakukannya itu salah.

Malah, jika dilihat kepada ahli psikologi yang lain, mereka kurang mendapat perhatian seperti golongan-golongan yang mempunyai ramai pengikut itu.

Yang Betul Bukan Semestinya Pada Kuantiti

Apa yang saya cuba nak sampaikan di sini adalah kuantiti itu tidak semestinya menggambarkan kualiti.

Jika mempunyai kuantiti yang banyak, namun kualitinya adalah salah atau orang kata tiada kualiti, maka itu bukanlah sesuatu perkara yang perlu digembar-gemburkan.

Lebih baik kita mendapat ilmu daripada orang yang betul walaupun followersnya sedikit berbanding dengan orang yang mempunyai followers yang ramai, namun ilmu yang salah.

Pernah anda melihat ilustrasi tentang seorang lelaki yang melalui jalan yang betul dan ada sekumpulan lagi manusia yang melalui jalan yang salah?

Apa yang ilustrasi ini sampaikan ialah tidak kiralah anda berseorangan, tetapi jika anda sedang melalui jalan yang betul, maka itu adalah lebih baik.

Berada dalam kumpulan yang majoriti tetapi sedang berjalan di jalan yang salah, itu adalah sesuatu yang buruk dan perlu dielakkan.

Di sini sama sahaja dengan situasi yang saya bawakan di atas – jika orang tersebut tidak mempunyai ramai pengikut tidak kiralah di media sosial mahupun secara terus, tetapi jika penyampaiannya bagus, ilmunya juga berkualiti dan betul, maka itulah yang perlu dilihat.

Sebab kita perlu melihat kepada kebenaran dan apa yang disampaikan, bukanlah pada terkenalnya seseorang atau paras rupanya.

Maksud: “Beruntunglah orang-orang yang asing.” Sahabat bertanya: “Lalu siapa yang asing wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Orang-orang yang soleh yang berada di tengah banyaknya orang-orang yang hina, lalu orang yang menderhakainya lebih banyak daripada yang mentaatinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, 2:177)

Wallahu a’alam.

Rujukan;
Rumaysho.com

The post Lihat Pada Apa Yang Disampaikan, Bukan Siapa Yang Menyampaikan first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.